Lebih 10 Juta Dos Vaksin COVID-19 Diberikan

BeritaLebih 10 Juta Dos Vaksin COVID-19 Diberikan

KUALA LUMPUR – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sekali lagi mencatatkan jumlah pemberian vaksin harian tertinggi dengan 375,842 dos vaksin diberikan di seluruh negara, semalam.

Ia menyaksikan kadar pemberian vaksin harian berjaya mencatatkan lebih 300,000 dos untuk tiga hari berturut-turut, bermula Isnin lalu dengan 313,761 dos, dan 340,043 dos semalam.

Peningkatan kapasiti harian itu juga membolehkan Malaysia mencatatkan pemberian kira-kira 1.03 juta dos vaksin hanya dalam tempoh tiga hari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata dengan peningkatan itu, Malaysia kini merekodkan pemberian lebih 10 juta dos vaksin sejak PICK bermula pada 24 Februari lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, lebih 13 peratus daripada hampir 23.4 juta populasi dewasa di negara ini sudah menerima dua suntikan lengkap vaksin COVID-19, manakala hampir 30 peratus sudah menerima dos pertama setakat semalam.

“Jumlah pemberian vaksin COVID-19 setakat semalam berjumlah 10,036,361 dos. Sejumlah 375,842 dos diberikan semalam, iaitu yang tertinggi setakat ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 6,999,554 orang sudah menerima dos pertama vaksin, manakala 3,036,807 lagi menerima dos kedua,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dikongsi Dr Adham, menunjukkan Putrajaya mendahului kadar pemberian dos lengkap vaksin, berbanding jumlah penduduk dengan 30,681 individu atau 27.9 peratus.

Ia disusuli Labuan (20,207/20.3 peratus), Perlis (48,859/19.2 peratus), Kuala Lumpur (290,256/16.4 peratus), Sarawak (401,408/14.3 peratus), Negeri Sembilan (119,417/10.6 peratus), Perak (241,741/9.6 peratus) dan Pahang (159,459/9.5 peratus). – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis