Laporan Insiden LRT Ke Kabinet, Rabu

BeritaLaporan Insiden LRT Ke Kabinet, Rabu

PUTRAJAYA – Laporan siasatan kemalangan membabitkan tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada 24 Mei lalu, akan dihantar ke mesyuarat Kabinet Rabu depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata laporan itu akan merangkumi cadangan ke arah menambah baik keselamatan pengangkutan awam dan menghalang insiden sama daripada berulang.

“Hasrat kerajaan adalah untuk berterusan mencari cara dan jalan terbaik bagi menambah baik aspek keselamatan pengangkutan awam bagi pengguna, sebagai keutamaan tertinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Insiden pada jam 8.33 malam, 24 Mei lalu menyaksikan sebuah tren tanpa penumpang bertembung dengan sebuah tren yang membawa 213 penumpang dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan stesen LRT KLCC.

Ka Siong berkata, satu jawatankuasa siasatan diketuai oleh ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, dibentuk sejurus selepas kejadian dan diberi masa 14 hari untuk melengkapkan siasatan dan memaklumkannya kepada Kabinet.

“Siasatan bertujuan menentukan faktor yang menyumbang kepada insiden malang itu dan bukannya bertujuan mencari kesalahan atau menuding jari terhadap mana-mana pihak,” katanya.

“Jawatankuasa sembilan orang itu dengan pantas mula mengumpulkan segala dokumen, data dan pelbagai maklumat lain yang berkaitan keselamatan serta operasi teknikal, di samping mengadakan beberapa mesyuarat bagi menyemak dan mengkaji maklumat berkenaan,” katanya.

Ka Siong berkata, ketika siasatan, jawatankuasa itu memeriksa pelbagai aspek berkaitan operasi dengan menyemak prosedur operasi standard (SOP), menual operasi, buku panduan dan lain-lain yang berkaitan dengan dokumen panduan.

Katanya, data dikumpulkan menerusi rakaman litar tertutup CCTV, temu ramah dengan mereka yang terbabit dengan operasi, serta perbincangan teknikal dengan pembekal teknologi; semuanya terkandung dalam laporan itu.

Beliau berkata lawatan sudah dibuat ke pusat kawalan operasi LRT Kelana Jaya pada 1 Jun oleh anggota jawatankuasa siasatan, dengan sesi simulasi pelanggaran untuk memberikan gambaran lebih jelas mengenai insiden itu ditampilkan oleh Prasarana Malaysia Bhd pada hari sama. – BERNAMA

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis