Kukuhkan RCEP Untuk Kebangkitan Ekonomi Asean-China

BeritaKukuhkan RCEP Untuk Kebangkitan Ekonomi Asean-China

KUALA LUMPUR – Perhubungan perdagangan antara Asean dan China perlu terus dipertingkatkan bagi memantapkan usaha dalam sektor perdagangan dan pelaburan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara usaha yang perlu dilakukan untuk memperhebatkan perdagangan dan pelaburan terbuka termasuk memperkukuhkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebagai landasan penting untuk kebangkitan semula ekonomi Asean dan gelembung perjalanan rentas sempadan yang sangat penting untuk pemulihan.

Katanya, kedua-dua pihak perlu bekerjasama susulan gelombang terbaharu penularan wabak untuk terus menerima hubungan perdagangan pelbagai hala dan berasaskan peraturan bagi membantu rantau ini mendepani krisis berkenaan.

“Seperti yang digariskan dalam Kerangka Pemulihan Ekonomi Asean, semua pihak perlu berusaha mengekalkan hubungan rantaian bekalan tanpa gangguan dan mempermudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan penting dengan menghapuskan halangan perdagangan tidak perlu.

“Dengan menggunakan kembali langkah perdagangan baharu, kita akan mendekatkan diri hampir kepada kadar pertumbuhan ekonomi pasca pandemik.

“Ini lebih kritikal untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi kita,” katanya ketika berucap di majlis pembukaan Ekspo China-Asean (Caexpo) ke-18 menerusi rakaman video.

Menurutnya, sudah tiba waktunya bagi Asean dan China mempromosikan kerjasama dalam perkongsian ekonomi digital, justeru, memudahkan percepatan penggunaan teknologi dalam kalangan PKS.

Ismail Sabri berkata, penubuhan RCEP yang akhirnya ditandatangani selepas perbincangan selama lapan tahun, membuktikan kepada dunia bahawa Asean dengan rakan Perjanjian Perdagangan Bebasnya (FTA), termasuk China, komited kepada negara rantaian bekalan transnasional dan memastikan pasaran terbuka dalam bencana wabak global.

Beliau berkata, RCEP bakal menjadi platform penting yang membantu rantau ini ke arah pemulihan dan pertumbuhan di masa depan.

“Perjanjian ini memberikan banyak peluang untuk meningkatkan rantaian bekalan serantau dan bagi perniagaan mempelbagaikan jaringan pengeluaran masing-masing.

“Ini sangat mustahak untuk integrasi yang lancar ke dalam ekonomi global dan sebagai rakan penting Asean, perlu ada inisiatif berkaitan gelembung perjalanan bersama untuk tujuan itu dan tatacara kuarantin yang boleh diterokai negara terbabit.

“Dengan berbuat demikian, kita akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk menghidupkan kembali bukan hanya industri pelancongan tetapi juga saling hubung antara manusia.

“Begitu juga, kerjasama dalam bidang lain seperti pengiktirafan bersama dokumen pensijilan vaksinasi,” katanya.

Caexpo adalah salah satu pameran utama disokong kerajaan China. Caexpo ke-18 ini diadakan di Nanning, China bermula 10 hingga 13 September 2021 dan berlangsung secara hibrid untuk kali kedua. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis