Kes Kematian COVID-19 Kembali Tiga Angka

BeritaKes Kematian COVID-19 Kembali Tiga Angka

PUTRAJAYA – Kes kematian akibat COVID-19 kembali mencatatkan tiga digit iaitu sebanyak 101 kes dilaporkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan korban di negara ini sudah mencecah 4,069 kes. 

Kali terakhir Malaysia mencatatkan kes kematian tiga digit ialah pada 3 Jun lalu iaitu sebanyak 103 kes dicatatkan. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, kes kematian yang direkodkan hari ini membabitkan 98 rakyat tempatan dan tiga warga asing berusia antara 29 hingga 91 tahun. 

Daripada jumlah kes kematian tertinggi yang dilaporkan hari ini, beliau berkata, sebanyak 50 kes dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur (11); Johor (10); Negeri Sembilan (lapan); Labuan (empat) dan masing-masing tiga kes di Sabah, Pahang, Kedah dan Kelantan.

“Selain itu dua kes dikesan di Sarawak serta masing-masing satu kes dilaporkan di Pulau Pinang, Melaka, Terengganu dan Perak. 

“Kes kematian termuda hari ini membabitkan seorang wanita berusia 29 tahun iaitu pesakit ke 4,030 dan beliau mempunyai sejarah penyakit jantung dan darah. Beliau dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. 

“Bagi pesakit tertua, ia membabitkan kes ke 4,007 iaitu seorang lelaki rakyat tempatan berusia 91 tahun serta mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, dislipidemia, jantung dan buah pinggang kronik serta dilaporkan meninggal dunia di Hospital Melaka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hari ini juga terdapat sembilan kematian di rumah atau ‘brought-in-dead’ (BID) dilaporkan. 

Mengenai jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, katanya, sebanyak 5,419 kes baharu kes COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini meningkat ke 667,876 kes. 

Beliau berkata, Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 1,996 kes, diikuti Sarawak dengan 718 kes baharu, Kuala Lumpur (650); Negeri Sembilan (396); Johor (366) dan Kelantan (245).

“Sehingga kini, seramai 70,112 kes masih aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 922 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 450 kes masih memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Mengenai 19 kluster baharu yang dikesan hari ini, Dr Noor Hisham berkata, 14 daripadanya membabitkan tempat kerja, empat dalam kalangan komuniti manakala satu daripada kumpulan berisiko tinggi. 

Beliau berkata, terdapat 11 kluster di tempat kerja membabitkan sektor perkilangan manakala selebihnya daripada pekerja syarikat perkhidmatan, ladang dan tapak bina. 

Kluster tempat kerja dikenali sebagai Kluster Industri Balakong Baru 11; Kluster Industri Pulau Meranti; Kluster Industri Jalan Berangan; Kluster Meranti Jaya 13 dan Kluster Industri Jalan Serendah. 

“Turut dikesan ialah Kluster Industri Perusahaan Dua Bangi; Kluster Jalan Keluli Lama; Kluster Kasap; Kluster Dulang dan Kluster Jalan Daya. 

“Kluster lain Kluster Tingkat Perusahaan Empat; Kluster Industri Teknologi Cheng 28; Kluster Tapak Bina Wangsa Kuarza dan Kluster Dah Industri Arang,” katanya. 

Empat kluster dalam kalangan komuniti dinamakan sebagai Kluster Nanga Sejugam; Kluster Nanga Strass; Kluster Kampung Kolong dan Kluster Desa Rejang. 

“Kluster terakhir membabitkan kumpulan berisiko tinggi yang dikenali sebagai Kluster Jalan Mesra,” katanya. 

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 6,831 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya di negara ini adalah 593,695 kes. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis