‘Kerusi Umno Menang Umno Punya, PAS Menang PAS Punya’

Berita‘Kerusi Umno Menang Umno Punya, PAS Menang PAS Punya’

Persefahaman antara UMNO dan PAS mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah mencapai 70 peratus menerusi beberapa mesyuarat Muafakat Nasional (MN) yang diadakan sebelum ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata menerusi persefahaman itu, mana-mana parti memenangi sesuatu kerusi sebelum ini akan kekal bertanding di kawasan berkenaan pada PRU15.

“Memang setiap kali bermesyuarat, kita bincang berkenaan persiapan menghadapi PRU15, di peringkat MN, kita juga ada jawatankuasa pembahagian kerusi. UMNO dan PAS mesyuarat banyak kali, persefahaman hampir 70 peratus dicapai, seperti saya katakan kerusi yang kita menang, kita punya, kerusi PAS menang, adalah PAS punya.

“Formula masih sama, tidak timbul soal untuk kita ubah atau keluar daripada formula dipersetujui, ” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat Dewan Udangan Negeri Ke-14 hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata mesyuarat MN seterusnya akan diadakan dalam masa terdekat selepas beberapa kali ia ditangguhkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu Mohamad berkata, tiada sebarang isu berbangkit berhubung ketiadaan nama beliau dalam senarai barisan Kabinet dibawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Beliau berkata tanggungjawab sebagai menteri dalam situasi negara berdepan dengan pandemik COVID-19 bukan satu tugas mudah dan beliau akan terus menyokong kerajaan semasa ini.

“Saya ucapkan selamat menjalankan tugas, keutamaan sekarang adalah terus berkerja dalam menangani krisis pandemik COVID-19, ekonomi, tiada masa untuk berlengah lagi.

“Saya harap menteri-menteri yang dilantik dapat menjalankan tugas dengan baik. Banyak hikmah tiada dalam kabinet ini, bukan senang untuk menjadi menteri dalam situasi krisis ini. Saya selaku orang nombor dua dalam parti, akan mendukung kerajaan,” katanya.- Bernama

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis