Kerajaan Perhalusi Kelonggaran Penerima Dos Vaksin Lengkap

BeritaKerajaan Perhalusi Kelonggaran Penerima Dos Vaksin Lengkap

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sedang mengkaji beberapa kelonggaran peraturan yang akan diberikan khusus kepada penerima dos lengkap vaksin COVID-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata antara kelonggaran yang dipertimbangkan termasuk kebenaran merentas negeri kepada penerima dos lengkap vaksin.

Katanya, kelonggaran itu akan membabitkan nilai ambang tertentu yang ditetapkan sebagai syarat peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara, khususnya membabitkan jumlah populasi yang sudah menerima vaksin.

“Kebebasan kepada penerima dos lengkap vaksin sedang dikaji sebuah jawatankuasa kerja teknikal di bawah JKJAV, yang dianggotai pakar kesihatan dan sains.

“Mereka akan melihat daripada aspek klinikal, dengan mengambil kira data dari negara lain, dan memutuskan tahap ambang mana yang sesuai untuk kita memberi kebebasan tertentu kepada penerima dos lengkap vaksin COVID-19.

“Jawatankuasa kerja teknikal ini akan membuat satu syor kepada JKJAV berhubung kebebasan yang boleh diberikan, sebelim diangkat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diputus dan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media Pelan Pemulihan Negara secara hibrid di Putrajaya.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berkata, antara contoh yang boleh dilihat membabitkan garis panduan kelonggaran yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS). 

“Contohnya, sekiranya ada beberapa orang yang sudah lengkap menerima vaksinasi ingin berjumpa dalam satu bilik, mereka boleh tanggalkan pelitup muka.

“Ini sedang diperhalusi jawatankuasa kerja teknikal yang akan membuat syor jenis kebebasan yang dibenarkan serta nilai ambang untuk negara kita, seperti 30 hingga 40 peratus penduduk di populasi, baru dapat diberi kebebasan kepada mereka.

“Ini termasuk juga kebebasan merentas negeri kepada mereka yang sudah menerima dos lengkap vaksinasi, yang akan diumumkan nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, sijil digital vaksinasi atau pasport vaksin dalam aplikasi MySejahtera akan digunakan oleh penerima dos lengkap untuk membolehkan mereka menikmati kebebasan tertentu itu.

“Kita juga sedang berunding dengan negara lain untuk sama-sama mengiktiraf sijil digital vaksinasi masing-masing. Rundingan dengan Singapura hampir tamat.

“Namun, ingin saya tekankan bahawa selagi negara belum mencapai matlamat 80 peratus populasi divaksinasi, kita perlu terus patuhi prosedur operasi standard (SOP), atau jangkitan berisiko kembali melonjak dan tidak dapat mencapai sasaran Pelan Pemulihan Negara,” katanya. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis