Kerajaan Perhalusi Cadangan Naikkan Had Pengeluaran i-Citra

BeritaKerajaan Perhalusi Cadangan Naikkan Had Pengeluaran i-Citra

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperhalusi dan mengkaji secara menyeluruh mengenai cadangan untuk menaikkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi kemudahan i-Citra.
Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata pertimbangan tersebut akan mengambil kira semua bentuk bantuan yang telah dan akan disalurkan oleh kerajaan, bagi meringankan beban ahli KWSP yang terjejas.

“Pertimbangan terhadap kenaikan had pengeluaran i-Citra perlu turut mengambil kira keperluan untuk mengimbangi antara keperluan semasa dan kepentingan simpanan persaraan untuk masa hadapan dengan kadar negara dijangka mengalami penuaan penduduk pada 10 hingga 15 tahun akan datang,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021 sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik COVID-19 serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.

Menerusi kemudahan i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.

Terdahulu, Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) pada sesi perbahasan Titah Diraja mencadangkan agar had pengeluaran i-Citra dinaikkan daripada RM5,000 ke RM10,000 dengan syarat kerajaan mesti bersungguh memulakan usaha untuk menaikkan semula aset KWSP dengan memberi lebih banyak peluang perniagaan bagi syarikat dimilikinya.

Selain itu, bekas Perdana Menteri itu turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan skim i-Survive membabitkan pemberian pinjaman automatik sehingga RM5,000 kepada orang ramai.

Mengulas mengenai cadangan tersebut, Yamani berkata kementerian mengambil maklum cadangan yang dikemukakan oleh Najib, sebagai usaha untuk menambah aliran tunai kepada setiap isu rumah yang memerlukan.

Dalam masa yang sama, beliau berkata kerajaan telah pun melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pemberian pelbagai bentuk bantuan tunai langsung kepada kumpulan sasar.

“Ia termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas COVID-19 (BKC), serta bantuan kehilangan pekerjaan dengan jumlah keseluruhan peruntukan bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM17.1 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM15.2 bilion telah disalurkan kepada akaun penerima,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan dijangka membentangkan cadangan di Dewan Rakyat bagi meningkatkan siling perbelanjaan Kumpulan Wang COVID-19 sehingga RM110 bilion pada Disember ini. – Astro AWANI

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis