Keluarga Malaysia Bawa 3 Teras Utama

BeritaKeluarga Malaysia Bawa 3 Teras Utama

KUALA LUMPUR – Keutamaan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ adalah memerangi kemelut kesihatan dan ekonomi tanpa memandang siapa yang ditimpa musibah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha memulihkan negara ini akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan tiga ciri utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Menurutnya, kejayaan ini akan membolehkan Malaysia membuka jalan pemulihan ekonomi dalam norma baharu pasca pandemik, kesejahteraan rakyat ditingkatkan dan keyakinan pelabur harus dikembalikan.

“Yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada Keluarga Malaysia, peperangan melawan pandemik Covid-19 akan berakhir dengan kemenangan.

“Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai Keluarga Malaysia yang kemudian membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur dan inayahnya, memanfaatkan rakyat. Inilah metafora Keluarga Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam Majlis Prapelancaran #Keluarga Malaysia di Wisma Angkasapuri RTM, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, barisan menteri Kabinet dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Katanya, majlis ini adalah manifestasi hasrat dan komitmen kerajaan meningkatkan usaha menyebar luas konsep dan hala tuju Keluarga Malaysia agar ia dapat difahami dan dihayati setiap lapisan masyarakat.

Beliau berkata, ia seiring dengan perjalanan kita memulih dan mengembalikan negara, daripada impak krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang sedang kita lalui.

“Pelbagai gerak kerja dan usaha merentas kementerian dan agensi diatur bagi memudah cara pelaksanaan program dan inisiatif, untuk rakyat dengan pantas dan berkesan.

“Toleransi masyarakat yang berbeza agama, bangsa dan kaum dalam kalangan Keluarga Malaysia sudah berlangsung puluhan tahun.

“Namun, tidak mudah mempertahankan payung toleransi andainya Keluarga Malaysia meminggirkan nilai yang boleh mewujudkan konflik dan perbezaan,” katanya. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis