Kaji perlombongan unsur nadir bumi, elak isu alam sekitar

EditorialKaji perlombongan unsur nadir bumi, elak isu alam sekitar

Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Universiti Kebangsaan Malaysia

Dengan mendapat pendidikan sarjana muda dalam bidang geologi dan doktor falsafah (PhD) dalam kejuruteraan perlombongan, seharusnya saya teruja dengan pengumuman Menteri Besar Kedah mengenai penemuan dan eksplorasi sumber unsur nadir bumi (UNB) yang dikhabarkan bernilai RM62 bilion.

Bagaimanapun, kerisauan mengatasi kegembiraan. Banyak maklumat teknikal dan kefahaman asas masih diperlukan bagi membolehkan kerajaan membuat dasar dan strategi penerokaan, seterusnya aktiviti perlombongan.

Tidak dapat dinafikan, UNB adalah sumber bumi penting dan diperlukan untuk pembangunan pelbagai teknologi tinggi, khususnya teknologi berasaskan elektronik seperti industri aeroangkasa, tenaga keterbaharuan, laser, komputer, telefon pintar serta pelbagai komponen teknologi digital.

Pendek kata, inilah sumber baharu bumi dalam perkembangan tamadun manusia yang dapat mengorak langkah ke masa depan.

Pada masa ini, lebih 90 peratus perlombongan sumber UNB berlaku di China walaupun taburannya boleh dijumpai di Amerika Syarikat (AS), Russia, Australia, Kanada, India, Amerika Selatan, Afghanistan, Mesir, Brazil, Afrika Selatan dan juga Malaysia.

Monopoli China kepada sumber ini berkait rapat dengan kekangan teknologi perlombongan dan kawalan penjualan UNB kepada masyarakat dunia.

China pernah mengurangkan kuota penjualan bagi mempertahankan kelebihan bersaing, tetapi usaha ini kurang disenangi negara industri terutama AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.

Isu sebenar ialah keupayaan melombong yang dapat memberikan keberkesanan kos. Berbeza dengan perlombongan logam lain seperti besi, timah, tembaga, perak dan emas, kehadirannya dalam satu unit isi padu batuan berbijih sangat tinggi.

Jika kawasan mengandungi mineral sudah dikenal pasti, perlombongan tidak membabitkan penggalian pada kawasan yang luas. Oleh itu, keberkesanan kos sangat tinggi.

Bersesuaian dengan namanya, unsur nadir atau langka, kandungannya dalam satu unit batuan adalah sedikit.

Jika kita dapat menentukan kawasan berbijih sekalipun, taburannya hanya sekitar lima hingga 10 peratus daripada isi padu bijih.

Sehingga kini, hanya China mempunyai keupayaan melombong UNB dan memperoleh keuntungan. Berikut beberapa perkara dasar yang perlu diberi pertimbangan serius sebelum negara berkecimpung dalam aktiviti perlombongan UNB ini:

Pertama, UNB ialah sumber bumi tidak boleh diperbaharui (NRE) dan berpotensi menjadi produk industri berteknologi tinggi untuk masa depan.

Jika negara masih belum membangunkan teknologi hiliran, khususnya pemprosesan dan pembikinan produk berteknologi tinggi, penjualan bijih mentah ke negara maju adalah tindakan kurang bijak.

Pada ketika kita berupaya membangun teknologi watan, negara sudah kehabisan sumber dan akan bernasib baik jika dibenarkan membeli dari negara luar.

Strategi menyimpan sebahagian daripada sumber strategik untuk masa depan negara seharusnya menjadi pertimbangan utama apabila berdepan sumber bumi bersifat NRE.

Kedua, negara perlu memberikan perhatian tinggi kepada guna tanah semasa dan merancang keperluan pembangunan pada masa depan. Selain kawasan perbandaran dan industri, sebahagian besar daripada guna tanah ialah pertanian dan hutan hujan tropika.

Perlombongan UNB memerlukan kawasan luas dan ini pasti akan bertembung dengan konflik guna tanah semasa, khususnya kawasan penempatan atau perkampungan, pertanian untuk keselamatan makanan dan hutan yang menyediakan perkhidmatan alam sekitar.

Malaysia ialah sebuah negara kecil, tidak banyak kawasan terbiar seperti kawasan gersang atau padang pasir yang sesuai untuk pembangunan perlombongan secara besar-besaran.

Ketiga, negara masih mempunyai ruang untuk merancang aktiviti perlombongan dan kuari, khususnya keperluan sumber bumi untuk industri pembinaan dan pembuatan.

Perlombongan bawah tanah dan lombong terbuka pada zon perlombongan yang dikenal pasti perlu diteruskan.

UNB lazimnya bertabur secara meluas di kawasan tanah terluluhawa berhampiran permukaan.

Kita perlu mengimbau kembali ketika negara dihantui tragedi lombong bauksit di Kuantan yang mencemar alam sekitar dan mengganggu kesejahteraan sosial.

Berbeza negara bersaiz besar dengan kawasan gersang dan terbiar yang luas, negara kita bersaiz kecil dengan kawasan untuk aktiviti perlombongan terhad.

Perlombongan yang bersifat mengikis tanah permukaan secara meluas pastinya kurang bersesuaian dan boleh membawa mudarat jangka panjang.

Keempat, pemikiran perlombongan tradisi iaitu pelaburan oleh penjajah dan bijih mentah terus dijual kepada negara luar sudah tidak sesuai bagi negara merdeka.

Keuntungan untuk pengusaha dan cukai untuk kerajaan tidak mendatangkan faedah dalam jangka panjang. Perlombongan moden perlu memberikan perhatian kepada kemakmuran komuniti setempat, ekonomi negeri dan nilai tambah dalam keupayaan teknologi negara.

Dasar perkongsian pendapatan perlu diagih secara saksama kepada penduduk setempat, kerajaan negeri dan Persekutuan. Industri perlombongan bukan sekadar menjual komoditi, tetapi perlu dilihat sebagai satu rantaian aktiviti huluan untuk keperluan industri hiliran.

Kelima, isu paling asas dalam aktiviti perlombongan ialah kerosakan dan pencemaran alam sekitar. Perlombongan UNB di China menunjukkan isu alam sekitar menjadi rumit dan impak kepada kesejahteraan masyarakat berlarutan serta masih tiada jalan penyelesaian.

Malaysia juga masih berdepan kerosakan alam sekitar akibat aktiviti perlombongan yang sudah tidak beroperasi puluhan tahun lamanya.

Dalam konteks ini, kajian impak sosial dan alam sekitar perlu dilakukan secara telus dan tidak berpihak kepada pengusaha perlombongan.

Huraian ini tidak bererti kita perlu menutup peluang untuk membangun sumber UNB, tetapi perlu dilaksanakan dengan perancangan teliti dan tindakan bermaklum.

Kita perlu meneroka potensi UNB negara, menjalankan eksplorasi bagi menentukan taburan, kualiti dan kuantiti sebaik mungkin. Selepas itu, baru disediakan dasar perlombongan dan penggunaan sumber bumi secara lestari.

Negara mempunyai Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang diberikan mandat untuk merancang, meneroka, menilai dan mencadangkan kepada kerajaan negeri mengenai potensi dan pendekatan pembangunan sumber mineral untuk faedah bersama.

Kepakaran ini perlu dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat dan kekayaan negara.

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis