Kadar Rt COVID-19 Menghampiri Nilai Ambang 1.2

BeritaKadar Rt COVID-19 Menghampiri Nilai Ambang 1.2

KUALA LUMPUR – Senario penularan COVID-19 di Malaysia berisiko terus memburuk apabila kadar kebolehjangkitan (Rt) wabak itu mengikut kes harian, melonjak menghampiri nilai ambang 1.2 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Rt COVID-19 untuk seluruh negara adalah 1.19 semalam, tertinggi dalam tempoh 50 hari.

Kali terakhir Malaysia merekodkan Rt seumpamanya adalah pada 25 Mei lalu dengan 1.2, ketika kes harian mencatatkan lebih 7,000 kes.

Data dikongsi Dr Noor Hisham di Twitter semalam, menunjukkan trend peningkatan nilai Rt sejak 26 Jun lalu, selaras lonjakan kes harian yang kini mencatat lebih 11,000 kes, dua hari berturut-turut.

Berdasarkan Model SEIR Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian COVID-19 yang dikongsi Dr Noor Hisham, kes harian berisiko melonjak melebihi 13,000 jika Rt kembali melebihi 1.2, kesan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Sebaliknya, kes harian dijangka akan menurun kepada sekitar 4,000 jika Rt berjaya diturunkan kepada 0.95 dan ke bawah, jika tahap pematuhan SOP kembali meningkat.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Dalam pada itu, dua negeri mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan semalam dengan Terengganu merekodkan nilai tertinggi dengan 1.4 dan Putrajaya pada 1.31, manakala Kedah merekodkan Rt 1.19.

Dua tempat merekodkan Rt di bawah 1.0 semalam, iaitu Labuan dengan 0.84 dan Sarawak dengan 0.92, dan tiada nilai Rt bagi Perlis yang hanya mencatat tiga kes baharu. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis