Kadar Kesuburan Wanita Malaysia Menurun

BeritaKadar Kesuburan Wanita Malaysia Menurun

PUTRAJAYA – Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) bagi wanita umur reproduktif di Malaysia mencatatkan penurunan dengan 1.7 anak pada 2020 berbanding 1.8 anak pada 2019.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kadar kesuburan pada tahun 2020 adalah yang terendah sejak empat dekad yang lalu dengan 4.9 anak bagi setiap wanita pada tahun 1970.

Katanya, kadar kesuburan Malaysia berada di bawah paras penggantian 2.1 anak mulai tahun 2013.

“Merujuk kepada manual Principles and Recommendations For A Vital Statistics (Revision 3), United Nations Statistics Division (2014), paras penggantian 2.1 bermaksud purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seorang wanita dengan menanggung seorang anak perempuan yang hidup sehingga anak tersebut melahirkan anak.

“Jika paras penggantian kesuburan kekal dalam tempoh yang panjang, setiap generasi secara tepat akan menggantikan dirinya dan pasangannya tanpa mengambil kira migrasi penduduk,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh 2010 hingga 2020, TFR bagi semua kumpulan kaum utama di Malaysia turut menunjukkan trend penurunan.

Katanya, TFR bagi Bumiputera mencatatkan penurunan daripada 2.6 anak kepada 2.2 anak, Cina (1.5 anak kepada 1.0 anak) dan India (1.7 anak kepada 1.2 anak).

“TFR bagi etnik Cina dan India mencatatkan TFR di bawah paras penggantian masing-masing bermula 2003 dan 2005,” katanya.

Dr Mohd Uzir berkata, bagi peringkat negeri pula, semua negeri mencatatkan TFR di bawah paras penggantian kecuali tiga negeri iaitu Terengganu (2.9 anak), Putrajaya (2.8 anak) dan Kelantan (2.7 anak).

Katanya, trend penurunan kadar kesuburan di Malaysia adalah selari dengan negara maju yang lain seperti Australia (1.7 anak), United Kingdom (1.7 anak), United States (1.7 anak), New Zealand (1.6 anak), Japan (1.4 anak) dan Republic of Korea (0.9 anak).

“Trend yang sama juga diperhatikan di negara ASEAN iaitu Laos (2.6 anak), Philippines (2.5 anak), Kemboja (2.5 anak), Indonesia (2.3 anak), Vietnam (2.1 anak), Myanmar (2.1 anak), Brunei Darussalam (1.8 anak), Thailand (1.5 anak) dan Singapura (1.1 anak),” katanya.

Bagi data awalan kelahiran pula katanya, untuk tempoh Januari sehingga Ogos 2021 sebanyak 240,590 kelahiran direkodkan.

Katanya, bilangan kelahiran hidup yang dicatatkan pada 2020 adalah 470,195 iaitu menurun 3.6 peratus berbanding 487,957 pada 2019.

“Bilangan kelahiran hidup pada 2020 ini dicatatkan sebagai bilangan kelahiran terendah dalam satu dekad.

“Bayi lelaki yang dilahirkan melebihi bayi perempuan iaitu masing-masing 243,617 dan 226,578,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, penurunan bilangan kelahiran itu mengakibatkan Kadar Kelahiran Kasar (CBR) menurun daripada 15.0 kelahiran pada 2019 kepada 14.4 bagi setiap seribu penduduk pada 2020.

Malah katanya, wanita memainkan peranan yang penting dalam menentukan bilangan dan kadar kelahiran dalam sesebuah negara.

“Trend penurunan kelahiran ini disumbangkan oleh peningkatan taraf pendidikan wanita dan peningkatan pembabitan wanita dalam tenaga buruh.

“Selain itu, faktor seperti peningkatan purata umur perkahwinan pertama, kesan evolusi pembandaran, perubahan gaya hidup, status ekonomi dan peningkatan penggunaan kaedah perancang keluarga juga turut menyumbang kepada trend penurunan kelahiran pada masa ini,” katanya.

Dr Mohd Uzir berkata, semua negeri mencatatkan penurunan bilangan kelahiran hidup pada 2020 berbanding 2019 kecuali Terengganu, Perlis dan Labuan, manakala semua negeri turut merekodkan penurunan CBR kecuali Labuan dan Perlis.

Katanya, Terengganu pula mencatatkan kadar tertinggi dengan 21.6 kelahiran bagi setiap seribu penduduk, manakala Pulau Pinang mencatatkan kadar terendah dengan 11.1 kelahiran.

“Ini sejajar dengan bilangan penduduk Cina yang ramai di Pulau Pinang iaitu sebanyak 42.3 peratus daripada jumlah penduduk di negeri itu.

“Kaum Cina turut mencatatkan TFR paling rendah berbanding etnik lain seawal tahun 2003.

“Penurunan CBR dan TFR secara berterusan akan memberi implikasi kepada peningkatan warga tua dan pengurangan penduduk bekerja pada masa akan datang,” katanya.

Bagi data awalan kematian pula katanya, untuk tempoh Januari hingga Ogos 2021 direkodkan sebanyak 132,812 kematian.

Katanya, jumlah kematian yang direkodkan di Malaysia pada 2020 adalah sebanyak 166,507 iaitu menurun sebanyak 4.2 peratus berbanding 173,746 kematian pada 2019.

“Kematian lelaki melebihi perempuan iaitu masing-masing 96,322 dan 70,185 kematian. Kadar Kematian Kasar (CDR) terus menurun daripada 5.3 pada 2019 kepada 5.1 kematian bagi setiap seribu penduduk pada 2020,”katanya.

Dr Mohd Uzir berkata, berdasarkan statistik kelahiran dan kematian berkenaan, penduduk Malaysia pada 2020 dianggarkan 32.6 juta orang yang mana disumbangkan oleh pertambahan semula jadi iaitu perbezaan antara bilangan kelahiran dan kematian yang berlaku setiap tahun.

Justeru katanya, pemahaman mengenai trend perubahan nisbah bagi penduduk yang dilahirkan kepada penduduk yang mati adalah sangat penting bagi mengetahui sejauh mana dasar atau program pelaksanaan kerajaan dalam mencapai matlamat rancangan pembangunan Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan pada masa depan.

“Berdasarkan CBR dan CDR Malaysia, secara purata 14.4 orang dilahirkan dan 5.1 orang yang mati bagi setiap seribu penduduk pada 2020 dengan nisbah 2.8 kelahiran bagi setiap satu kematian.

“Jika dilihat pada sepuluh tahun yang lepas, bagi setiap seribu orang penduduk, secara purata 17.2 orang dilahirkan dan 4.6 orang yang mati dengan nisbah yang dicatatkan 3.7 kelahiran bagi setiap satu kematian,”katanya.

Beliau berkata, penurunan nisbah itu memberi impak kepada struktur penduduk Malaysia, sekali gus menyebabkan negara akan beralih kepada status negara menua lebih awal berbanding unjuran yang dibuat sebelum ini iaitu dijangka penduduk warga tua yang berumur 60 tahun dan ke atas akan mencapai 15.3 peratus pada tahun 2030.

Katanya, ketika ini banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) masih dilaksanakan di seluruh negara sehingga 31 Oktober ini secara bersemuka dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Oleh itu katanya, penduduk diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana Data Anda Masa Depan Kita.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis