Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Varian Delta Tinggi

BeritaKadar Kebolehjangkitan COVID-19 Varian Delta Tinggi

KUALA LUMPUR – Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt atau R0) bagi varian Delta yang mengakibatkan lonjakan kes baharu di serata dunia, adalah lebih tinggi menyebabkan ia lebih mudah disebarkan berbanding varian lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melalui hantaran Facebook berkata Rt bagi varian Delta adalah antara 5 hingga 8.

“RO (R-naught) adalah nilai ‘asas pembiakan’. Sebagai contoh R0 bagi jangkitan cacar yang berlaku pada tahun 1970-an, adalah antara 3.5 hingga 4.5.

“R0 bagi varian Alpha B117 pula adalah antara 4 hingga 5 berbanding varian Delta antara 5 hingga 8.

“Disebabkan itu, varian Delta lebih mudah disebarkan berbanding varian lain,” katanya.

Rt adalah nilai dihitung bagi penyakit berjangkit yang menunjukkan kadar kebolehjangkitan satu kes positif kepada orang lain dalam tempoh itu.

Nilai Rt 4 bermakna seorang kes positif jangkitan virus boleh menyebarkan penyakit ini kepada 4 orang yang lain.

Nilai Rt digunakan bagi meramal berapa orang yang mungkin mendapat jangkitan bagi membolehkan perancangan strategi kawalan dan pencegahan dilakukan. 

Ia juga turut menunjukkan sama ada tindakan kawalan dan pencegahan dilakukan berkesan atau tidak.

Menurut grafik yang disertakan dalam hantaran Dr Noor Hisham, semakin tinggi kadar jangkitan, lebih tinggi kadar Rt yang akan dicatatkan. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis