Kadar Kapasiti PKRC Seluruh Negara Kini 60 Peratus

BeritaKadar Kapasiti PKRC Seluruh Negara Kini 60 Peratus

IPOH – Kadar kapasiti penggunaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara ketika ini berada pada tahap 60 peratus.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata beberapa pilihan seperti penggunaan Institut Latihan Awam Persekutuan di seluruh negara dan asrama awam akan diguna pakai jika jumlah pesakit di PKRC terus bertambah.

Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk kepada kes dan keadaan semasa.

“Kita akan pastikan ada ruang (penampan) 20 peratus bagi setiap PKRC. Kalau sudah sampai 80 peratus (kapasiti), kita akan cari pilihan tertentu. Antara pilihan itu adalah kita mempunyai 360 Institut Latihan Awam Persekutuan di seluruh negara.

“Ini adalah satu potensi, begitupun kebanyakan institut awam ini kita gunakan sebagai pusat kuarantin bagi mereka yang balik dari luar negara dahulu. Sekiranya keadaan agak kritikal di PKRC, NADMA akan menggunakan pilihan berkenaan tetapi tidak membabitkan semua negeri dan bergantung kepada kekuatan yang ada,” katanya selepas melawat PKRC Arena Badminton Ipoh, hari ini.

Katanya, aset awam (bangunan dan infrastruktur kerajaan) dipilih kerana ia boleh digerakkan secepat mungkin menerusi kerjasama pelbagai pihak seperti kerajaan negeri, selain boleh mengurangkan beban kos membiayai setiap pusat kuarantin dan PKRC yang dilihat amat tinggi.

“Keperluan menambah PKRC sedia ada bagi menampung pesakit COVID-19, terutama kategori satu dan dua, akan terarah serta difokuskan kepada kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Johor Bahru dan Lembah Klang, terlebih dahulu,” katanya.

NADMA bertanggungjawab terhadap kelicinan proses di semua 80 PKRC seluruh negara yang membabitkan kira-kira 5,000 petugas kesihatan dan bukan kesihatan selain 30,000 katil untuk menampung pesakit pandemik.

Agensi itu kini mengadakan siri lawatan ke semua PKRC di seluruh negara pasca Aidilfitri bagi melihat situasi semasa pusat kuarantin ini dari segi kapasiti dan perjalanan proses pentadbiran. – BERNAMA

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis