Kadar Inokulasi Negara Terus Meningkat

BeritaKadar Inokulasi Negara Terus Meningkat

KUALA LUMPUR – Jumlah pemberian vaksin terus mencatatkan peningkatan dengan perangkaan tertinggi 556,404 dos diagihkan kepada penerima yang layak di seluruh negara, semalam.

Lonjakan sebanyak 0.67 peratus, berbanding 552,701 dos yang diberikan kelmarin sekali gus memberikan petanda baik ke arah Malaysia mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober, seperti digariskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Julai lalu.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) menjelaskan sebanyak 343,530 terdiri daripada dos pertama, manakala 22,874 ialah dos kedua.

Sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsan (PICK) dilaksanakan pada 23 Februari lalu, sebanyak 19,502,452 dos vaksin diberikan kepada penerima yang layak.

Berdasarkan jumlah keseluruhan itu, sebanyak 13,148,742 meliputi dos pertama, manakala 6,317,710 ialah dos kedua.

Sekiranya dihitung, jumlah pemberian dos kedua vaksin di seluruh negara setakat semalam itu mewakili 19.3 peratus daripada populasi di Malaysia dan mencecah 27 peratus daripada jumlah individu dewasa di negara ini.

Mengikut pembahagian negeri, Lembah Klang mendahului jumlah pemberian vaksin dengan 7,422,834 dos, diikuti Sarawak (2,944,224 dos) dan Johor (1,462,557 dos).

Perbandingan antara kadar pemberian vaksin dengan jumlah populasi dewasa pula menyaksikan Wilayah Persekutuan Labuan berada pada tahap 79.2 peratus bagi dua dos, iaitu yang tertinggi, disusuli Sarawak (61.3 peratus), Perlis (41.1 peratus), Lembah Klang (32.6 peratus), Negeri Sembilan (30.9 peratus) dan Melaka (25.5 peratus).

Sementara itu, Operasi Lonjakan Kapasiti yang dilaksanakan di Lembah Klang bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 menyaksikan sebanyak 239,318 dos vaksin diberikan kepada penerima.

Perangkaan itu meliputi 143,197 dos pertama, manakala 96,121 ialah dos kedua. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis