Jumlah Graduan Perubatan Meningkat, Sukarkan Lantikan Tetap

BeritaJumlah Graduan Perubatan Meningkat, Sukarkan Lantikan Tetap

KUALA LUMPUR – Peningkatan mendadak graduan perubatan sejak 2016 menyebabkan wujud masalah melantik mereka dengan jawatan tetap dalam perkhidmatan awam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, antara 2009 hingga 2015, jumlah graduan perubatan hanya sekitar 3,000 setahun, tetapi meningkat kepada 5,000 hingga 6,000 orang setiap tahun sejak 2016.

“Berdasarkan perkembangan itu, kerajaan pada 13 Oktober 2016 telah memutuskan supaya graduan perubatan ditawarkan pelantikan secara kontrak bagi menjalani latihan siswazah dan melengkapkan khidmat wajib selaras dengan obligasi di bawah Akta Perubatan 1971.

“Selepas melengkapkan latihan siswazah dan khidmat wajib, graduan perubatan mengharapkan supaya mereka diserap sebagai pegawai perubatan lantikan tetap.

“Namun berikutan pelaksanaan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam dan kawalan perbelanjaan kewangan secara berhemah, bukan semua graduan perubatan yang melengkapkan latihan siswazah dapat dilantik secara tetap disebabkan perjawatan yang terhad,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Rosnah Aluai (PH-Tangga Batu) mengenai rancangan kerajaan untuk menjamin masa depan doktor kontrak supaya mereka tidak mengalami ‘brain drained’ pada masa akan datang.

Khairy berkata, buat masa ini, Pegawai Perubatan lantikan kontrak diberi emolumen yang setara dengan pegawai lantikan tetap.

Katanya, daripada aspek pemberian kemudahan lain seperti kemudahan cuti, perubatan, kuarters, pinjaman kenderaan dan komputer, perkara ini diberi berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa.

“Selain itu, pegawai perubatan lantikan kontrak turut mendapat kemudahan cuti seperti Cuti Rehat, Cuti Sakit, Cuti Haji, Cuti Bersalin, Cuti Tanpa Rekod Isteri Bersalin, Cuti Tanpa Rekod Kematian Ahli Keluarga Terdekat dan Cuti Tanpa Rekod Perayaan.

“Pegawai Perubatan lantikan kontrak juga telah dipanjangkan kemudahan rawatan perubatan kepada ibu bapa mulai tahun 2016,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya pada 14 Julai lalu, kerajaan juga telah bersetuju dengan pemanjangan Cuti Tugas Khas Perubatan (Hazard Leave), Cuti Tibi serta Tambang Mengunjungi Wilayah Asal kepada pegawai perubatan lantikan kontrak.

Selain itu, katanya dalam tempoh dua tahun lanjutan kontrak ini, sekiranya pegawai ditawarkan pengajian kepakaran maka pegawai akan ditawarkan kontrak lanjutan selama empat tahun lagi untuk melengkapkan pengajian kepakaran.

“Kerajaan juga bersetuju agar KKM dan agensi berkaitan menyediakan satu pelan komprehensif yang merangkumi tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani isu doktor kontrak ini,” katanya.

Justeru, katanya satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan pada 20 Ogos lalu yang memberi keutamaan kepada enam perkara termasuk pemberian Hadiah Latihan Persekutuan kepada pegawai perubatan dan pergigian kontrak mengikuti pengajian kepakaran; mewujudkan perjawatan tetap tambahan mengikut keperluan fasiliti kepada Agensi Pusat.

Selain itu, katanya ia akan meningkatkan lagi peluang pekerjaan dalam perkhidmatan kesihatan.

Sementara itu, katanya jumlah Pakar dan Pegawai Perubatan yang berkhidmat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini adalah seramai 55,981 orang.

Daripada jumlah itu, katanya 32,885 orang pegawai lantikan tetap yang merangkumi 26,892 orang Pegawai Perubatan lantikan tetap dan 5,993 orang Pakar Perubatan lantikan tetap.

Katanya, seramai 23,096 orang pegawai lantikan kontrak pula merangkumi 23,077 orang pegawai Perubatan lantikan kontrak dan 19 orang pakar perubatan lantikan kontrak.

Berdasarkan rekod KKM, perincian doktor yang telah meletak jawatan sejak tahun 2016 sehingga Jun 2021 adalah seramai 948 orang iaitu 158 orang pada 2016, 170 orang (2017), 198 (2018), 229 (2019), 161 orang (2020) dan 32 orang sehingga Jun lalu.

Katanya, Pegawai Perubatan Lantikan Tetap yang meletakkan jawatan adalah seramai 4,028 orang iaitu 874 orang pada 2016, 869 (2017), 734 (2018), 915 (2019), 534 (2020) dan 102 orang sehingga Jun lalu. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis