Johor Sedia Adakan Persidangan DUN Segera

BeritaJohor Sedia Adakan Persidangan DUN Segera

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor bersedia mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan segera seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor. 

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih dan amat mengalu-alukan titah dan pandangan yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu, semalam. 

Katanya, Persidangan Khas Raja-Raja Melayu semalam menyatakan dengan jelas pendirian mengenai Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dalam menangani pandemik Covid-19. 

“Kerajaan Johor akan mengenal pasti tarikh yang sesuai supaya Persidangan DUN Johor dapat dijalankan segera. 

“Kerajaan negeri sentiasa menjunjung tinggi proses serta amalan demokrasi ‘Cara Johor’ sejak dahulu lagi yang amat menekankan aspek permuafakatan.

“Malah, atas nasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, saya sudah mengadakan perbincangan khas secara maya mengenai langkah-langkah yang boleh diambil dalam mendepani pandemik Covid-19 bersama wakil-wakil rakyat, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani pandemik Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis