Jawatankuasa Bersama Ditubuh Transformasi Parlimen

BeritaJawatankuasa Bersama Ditubuh Transformasi Parlimen

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri dan Parlimen Malaysia bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama bagi merealisasikan transformasi untuk memberi lebih kebebasan kepada Parlimen di samping menyuntik nafas baharu melalui penghapusan serta pindaan peraturan lapuk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata persetujuan itu dicapai selepas beliau mengadakan pertemuan selama 90 minit bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, semalam.

Katanya, dalam pertemuan itu mereka membincangkan kemungkinan untuk memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) yang dimansuhkan pada 1992 bagi memberikan lebih kebebasan kepada badan penggubal undang-undang itu.

“Langkah ini adalah konsisten dengan apa yang dilakukan oleh Parlimen lain di peringkat antarabangsa.

“Ia juga berlandaskan Perkara 62 dan Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pengenalan semula PSA yang dimansuhkan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu akan memberi Parlimen kemampuan untuk mengurus pentadbiran dan kewangan, bukannya berada di bawah bidang kuasa eksekutif seperti amalan sekarang.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, turut dibincangkan ialah cadangan mewujudkan akta Parlimen baharu bagi menggantikan Akta Hak Istimewa & Kuasa Parlimen 1952 (disemak semula 1988).

Katanya, akta itu perlu diganti kerana ia dikuatkuasakan pada 1952 yang sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan landskap politik abad ke-21.

“Berbanding membuat pindaaan, adalah lebih baik satu akta baharu yang komprehensif, inklusif dan menyeluruh diperkenalkan.

“Ini juga bagi mengikut jejak langkah kebanyakan negara Komanwel lain seperti Australia, Kanada, New Zealand dan India,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara turut dibincangkan kerana ia penting bagi menjayakan pengenalan semula PSA dan akta baharu Parlimen.

Katanya, walaupun pindaan demi pindaan dibuat dari semasa ke semasa, ia masih tidak mencukupi untuk menangani banyak perkara baharu yang berbangkit di Parlimen.

“Banyak Parlimen negara Komanwel telah membuat pindaan yang diperlukan dalam aspek peraturan dan prosedur bagi menyesuaikannya dengan keadaan semasa dan usaha mentransformasi Parlimen.

“Adalah mustahak untuk kita membuat lebih banyak perubahan dan penambahbaikan terhadap peraturan yang sudah tidak sesuai dalam keadaan semasa.

“Pindaan yang dibuat mesti berfokus kepada usaha memberi kuasa kepada jawatankuasa Parlimen,” katanya.

Wan Junaidi dalam pada itu memaklumkan beliau gembira dengan penerimaan positif kedua-dua Yang Dipertua Dewan itu terhadap cadangan berkenaan, malah mereka bersedia memainkan peranan utama untuk mentransformasikan Parlimen.

“Berikutan itu, kami telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bersama antara Parlimen dan kementerian saya supaya pelbagai cadangan itu dapat dibincang dan dilaksanakan dengan pantas.

“Untuk tindakan selanjutnya, saya akan menghantar laporan berkaitan isu ini kepada Kabinet untuk sokongan,”katanya. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis