Jawatan Perdana Menteri hanya untuk UMNO – Tok Mat

PolitikJawatan Perdana Menteri hanya untuk UMNO – Tok Mat

KUALA LUMPUR- Posisi Perdana Menteri hanya untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN),” tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, UMNO merupakan parti yang merdekakan Malaysia dan mengemudi negara lebih 60 tahun tidak sepatutnya menjadi ‘anak ayam’ yang hanya mengikut telunjuk dan arahan parti lain.

“Kita nak jadi induk. Tak mahu jadi pemain sampingan lagi, kita mahu jadi pemain penyerang dan kapten pasukan.

“Walaupun kita (UMNO/BN) adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN), tapi bukan kita kemudi. Kita cuma ikut arahan. Kita akan jadi induk yang akan menjaga semua anak-anak yang lain.

“UMNO tak biasa begitu. Setelah 60 tahun teraju negara. Ada track record amat baik. Ini kekuatan kita and perlu sarankan orang ramai, tiada parti lain yang lebih diyakini untuk tadbir negara,” katanya pada sidang media di PWTC, hari ini.

Ditanya siapakah calon paling layak dari UMNO/BN untuk jadi Perdana Menteri.

“Kamu sedang bercakap dengan beliau,” seloroh beliau dan memberitahu individu itu akan diputuskan oleh parti apabila tiba masanya.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) akan datang BN akan bertanding atas tiket sendiri bukannya atas lambang sesiapa.

“Untuk ketika ini maka kita akan bertanding atas tiket BN, bukan atas lambang sesiapa. Kita tak mahu kaki terikat lagi.

“Kita gunakan BN. Itu sebab saya cakap lebih awal, kita bertanding atas asas BN,” ujar beliau.

Sementara itu Mohamad yang juga Adun Rantau menjelaskan bahawa UMNO akan rampas semua kerusi milik parti itu yang mana wakil rakyatnya ‘melompat’.

“Dulu kita eksklusif sekarang dah jadi inklusif, kita nak menang lebih 80 kerusi.

“Bertanding 96 kerusi sekurang-kurangnya tengok keadaan rakan kongsi.

“Tapi kalau kita bertanding bersendirian, (kita) tanding lebih 100 kerusi,” katanya.

Mohamad memberitahu UMNO/BN akan cuba memujuk PAS untuk kekal memilih bekerjasama dengan Muafakat Nasional (MN).

“Seboleh mungkin kita akan cuba bersama PAS kerana ia lebih memanfaatkan Melayu Islam.

“Kalau boleh UMNO nak bersama PAS, tapi kita tak paksa … itu keputusan PAS, kita akan runding pembahagian kerusi,” kata beliau.

Selain itu, UMNO nampaknya “berpatah arang berkerat rotan” dengan Bersatu.

Ditanya adakah mungkin ada cahaya di hujung terowong hubungan UMNO dan Bersatu, Mohamad berkata berkenaan perdamaian dengan Bersatu sudah tiada jalan.

“Perdamaian dengan Bersatu, cubalah damaikan kita nak dengar formula dia,” ujar Mohamad.

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis