Jangan Sebar Fitnah Isu Caprice, Ebit Lew – Bukit Aman

BeritaJangan Sebar Fitnah Isu Caprice, Ebit Lew – Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Orang awam dinasihat tidak menyebarkan dan membuat kenyataan berbaur fitnah berhubung dakwaan penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice mempersoalkan tindakan pendakwah terkenal, Ebit Lew dalam misi kemanusiaan di Gaza, Palestin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata setakat ini, tiada laporan diterima dan kertas siasatan dibuka mengenai perkara itu.

“Beberapa hari ini di media sosial dikesan hangat memperkatakan mengenai tindakan penyanyi rap itu. Mereka yang fitnah atau mengaibkan seseorang boleh disiasat mengikut Seksyen 500, 504 dan 505 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Semua seksyen itu kerana kesalahan fitnah, dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, kenyataan boleh mendatangkan khianat awam serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Abd Jalil meminta orang ramai tidak mensensasikan isu itu dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil jika wujud pelanggaran undang-undang berkenaan.

Terus trending dalam media sosial sejak beberapa hari lalu, Caprice semalam dilaporkan berjanji membuat pendedahan mengenai realiti di sebalik kontroversi di Gaza, Rabu ini, dan berharap hubungannya dengan pendakwah itu pulih.

Mengaku mengambil pil tidur sejak tiga minggu lalu, Caprice mendakwa tidak menyangka Ebit yang dianggapnya sahabat terus senyap dan tidak memberi kerjasama selepas apa yang berlaku di Gaza.

Sebelum ini, Caprice mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan tegurannya kepada Ebit susulan rungutan yang didakwa diterima daripada penduduk Gaza mengenai cara pendakwah itu menghulurkan bantuan termasuk perkongsian yang dibuat melalui media sosial.

Pada 24 Jun lalu, Caprice berangkat ke Palestin untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Namun, sehingga hari ini, Caprice masih belum memasuki Gaza. Malah, melalui pengakuan IG Story, penyanyi itu mendakwa mungkin niat untuk memasuki wilayah itu menjadi sukar. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis