Institusi Pendidikan Bawah KPM Dibuka Ikut Fasa PPN

BeritaInstitusi Pendidikan Bawah KPM Dibuka Ikut Fasa PPN

KUALA LUMPUR – Pengoperasian institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengikut ketetapan fasa baharu Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan.
KPM dalam satu kenyataan berkata, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi Johor akan bermula pada 10 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN.

Katanya, memandangkan Pahang akan beralih ke Fasa 3 pada 24 September 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan di negeri itu akan beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN bermula pada 11 Oktober 2021.

“Bagi Negeri Sembilan, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 3 PPN. Memandangkan Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa 4 pada 24 September 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan di Negeri Sembilan berdasarkan Fasa 4 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober 2021.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kelulusan untuk murid kelas Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa 1 hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.

“Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri Kedah akan bermula pada 10 Oktober 2021 untuk kumpulan murid tersebut. Murid lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya, susulan pengumuman Pulau Langkawi sebagai kawasan gelembung pelancongan pada 16 September 2021, pengoperasian institusi pendidikan bermula pada 3 Oktober 2021 adalah berdasarkan ketetapan negeri Fasa 4 PPN.

Katanya, bagi institusi pendidikan bawah KPM di negeri lain yang tidak terbabit dengan peralihan fasa pada 24 September 2021, pengoperasian institusi pendidikan adalah berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti mana yang diumumkan oleh KPM pada 12 September 2021.

“Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru. Ia juga terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

“KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis