Hospital Medan Bukti Komitmen Tinggi ATM

BeritaHospital Medan Bukti Komitmen Tinggi ATM

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan segera menambah bilangan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi merawat pesakit Covid-19 di negeri yang memerlukan bantuan mendesak.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ATM kini hanya menunggu keputusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengatur gerak hospital berkenaan.

Menurutnya, hari ini adalah hari ke-79 Hospital Medan Hospital Sultanah Aminah, Johor, beroperasi sejak 21 Jun lalu dengan kapasiti 80 katil biasa dan empat katil unit rawatan rapi (ICU).

“Alhamdulillah, dengan kepakaran pasukan perubatan ATM, seramai 944 pesakit Covid-19 menerima rawatan di Hospital Medan itu. Seramai 877 pesakit Covid-19 sembuh sekaligus dibenarkan pulang.

“Saya amat bangga dan menghargai kesungguhan anggota Tentera Darat khususnya dari Kor Kesihatan Diraja yang sentiasa sanggup mengambil risiko serta bertugas tanpa mengira masa demi membantu pasukan KKM perangi Covid-19,” katanya dalam kenyataan di Facebook tadi

Beliau berkata, kerjasama ATM dan KKM akan terus diperkukuh dalam memerangi pandemik di negara ini.

Katanya, ATM akan memeranginya demi nyawa rakyat, kesejahteraan masyarakat dan keselamatan tanah air.

Beliau sebelum itu turut menyatakan tiga fokus utamanya untuk menggembleng tenaga dan usaha dalam perangi Covid-19.

Beliau berkata, tiga fokus itu selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang meminta setiap menteri menunjukkan hasil serta menetapkan sasaran atau petunjuk prestasi utama (KPI) jangka pendek dan sederhana bagi kementerian masing-masing.

“Sebab itu, saya tetapkan supaya Pasukan Petugas Khas baharu ditubuhkan bertujuan menyelaras Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan dalam mengurus usaha demi memenuhi agenda nasional terutama berkaitan COVID-19.

“Pasukan Petugas Khas ini akan diketuai oleh Timbalan Menteri, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan harus lapor terus kepada saya setiap minggu,” katanya.

Hishammuddin berkata, fokus kedua beliau adalah menambah baik inisiatif di Kementerian Pertahanan dan ATM dengan mengambil kira Pelan Pemulihan Negara (PPN), Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) dan usaha Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, fokus ketiga adalah mengenai aspek kebajikan warga ATM, Kementerian Pertahanan dan ahli keluarga mereka; diplomasi ketenteraan; aspek keselamatan antarabangsa khususnya dalam memerangi pengganas dan mempertahankan keselamatan negara. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis