Hampir 90 Peratus Daerah Zon Merah COVID-19

BeritaHampir 90 Peratus Daerah Zon Merah COVID-19

KUALA LUMPUR – Penularan COVID-19 di Malaysia terus berada pada tahap membimbangkan apabila hampir seluruh negara kini bertukar menjadi zon merah setakat semalam.

Data pergerakan 14 hari taburan kes COVID-19 di seluruh negara merekodkan seluruh Semenanjung, Sabah, Labuan dan separuh daerah di Sarawak bertukar menjadi zon merah.

Ia bersamaan 86.7 peratus atau 138 daripada 159 daerah di seluruh negara menjadi zon merah, dengan sejumlah 249,856 kes COVID-19 direkodkan antara 28 Julai hingga 10 Ogos.

Jumlah kes yang direkodkan itu menyaksikan peningkatan lebih 30 peratus berbanding tempoh 14 hari sebelumnya, yang merekodkan 191,425 kes antara 16 Julai hingga 29 Julai lalu.

Bagi tempoh 28 Julai hingga 10 Ogos, Selangor merekodkan hampir 100,000 kes COVID-19, apabila mencatat 96,886 kes, sekali gus menjadi negeri yang mencatat kes baharu tertinggi dalam tempoh berkenaan.

Ia disusuli Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 31,302 kes, selain Kedah (18,189), Johor (16,063), Sabah (15,084), Negeri Sembilan (12,545), Pulau Pinang (10,726) dan Kelantan (10,195), manakala Labuan (98) dan Perlis (136) mencatat jumlah kes paling sedikit dalam tempoh berkenaan.

Dalam tempoh sama, empat daerah di Selangor mencatat jumlah kes baharu mencecah lima angka, dengan Klang mencatat kes tertinggi iaitu 25,406, disusuli Petaling (23,511), Hulu Langat (21,268) dan Gombak (10,254).

Ketika ini, hanya 21 daerah di Sarawak yang masih belum bertukar kepada zon merah, dengan empat zon jingga, 12 zon kuning serta lima zon hijau.

Sesuatu daerah akan dikategorikan sebagai zon merah apabila mencatat 41 kes ke atas, zon jingga (21 hingga 40 kes), zon kuning (satu hingga 20 kes) dan zon hijau bagi daerah bebas kes COVID-19. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis