Hampir 7 Juta Penduduk Sudah Lengkap Vaksin

BeritaHampir 7 Juta Penduduk Sudah Lengkap Vaksin

KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin COVID-19 di seluruh negara adalah 21,200,473 dengan peratusan penerima vaksin lengkap kini mencapai 29.7 peratus, sehingga semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, berkata, data berkenaan mengambil kira sepenuhnya pelaporan manual termasuk daripada program jangkau luar komuniti yang dijalankan di seluruh negara.

Statistik itu menunjukkan, jumlah keseluruhan pemberian dos pertama setakat ini adalah 14,247,659 dos atau 60.9 peratus penduduk dewasa manakala 6,952,814 atau 29.7 peratus adalah penerima dos kedua.

JKVAV dalam perangkaan itu turut menunjukkan tiga negeri mencatatkan kadar pemberian dos vaksin terendah iaitu Sabah yang mencatatkan 31.7 peratus penduduk dewasa menerima dos pertama, manakala cuma 14.6 peratus sudah menerima dos kedua.

“Johor pula merekodkan 42.3 peratus dos pertama dan 16.9 peratus suntikan dos kedua, sementara Kedah mencatatkan 38.7 peratus bagi dos pertama dan 19.9 peratus dos kedua,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, Labuan kekal berada di tangga teratas negeri yang mencatatkan pemberian dos tertinggi iaitu 85.1 peratus populasi penduduk dewasanya melengkapkan kedua-dua dos, diikuti Sarawak dengan 65.7 peratus, Perlis (42.7 peratus) dan Lembah Klang (37.5 peratus).

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam satu kenyataan, berkata kerajaan optimis dapat mencapai sasaran 50 peratus penduduk berumur 18 tahun ke atas di negara ini melengkapkan vaksin COVID-19 menjelang 31 Ogos ini.

Sasaran itu mampu dicapai susulan kadar vaksinasi yang tinggi ketika ini selain 29 peratus daripada penduduk dewasa lengkap divaksinasi. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis