Fitri lalui dugaan berat selepas isteri hamil disahkan positif Covid-19

Gaya HidupFitri lalui dugaan berat selepas isteri hamil disahkan positif Covid-19

PEMAIN Kelantan United FC, Mohd Fitri Omar berdepan dengan dugaan berat  apabila isterinya yang kini sedang hamil disahkan positif Covid-19.

Isterinya, Nursuriana Zulkifli disahkan positif selepas membuat ujian calitan pada Jumaat lalu dan kini sedang menjalani kuarantin sendiri di rumah.

Fitri bagaimanapun tidak dijangkiti dan kini menjaga isterinya sepenuh masa di rumah dalam tempoh kuarantin ini selain bersyukur anak-anaknya yang lain bukan kontak rapat dan sedang dijaga oleh ahli keluarga yang lain.

Apa yang merisaukan bekas pemain PJ City FC ini adalah keadaan isterinya yang sedang hamil tiga bulan dan mengharapkan semuanya akan kembali pulih sebelum dia kembali ke pasukan untuk kem latihan pusat.

“Sangat berat dugaan kali ini. Pengalaman pertama yang cukup berat untuk saya sebab kalau sebelum ini, biasa kita tengok orang lain yang mengalami, sekarang diri sendiri yang kena.

“Isteri saya demam minggu lepas, jadi saya bawa dia pergi lakukan ‘swab test’ dan selepas dua hari, doktor sahkan dia positif.

“Memang saya risau sangat sekarang lebih-lebih lagi fikir keadaan anak dalam kandungan, isteri nak makan pun tiada deria rasa langsung.

“Memang kesedaran yang cukup besar bila dah kena macam ini, dan harap orang lain sama-sama la jaga diri, kita tak mahu wabak ini terkena dekat ahli keluarga kita, rasa sedih sangat”, katanya.

Selain itu  Fitri memberi tahu dia akan dikecualikan daripada  latihan pasukan secara Camp Based Training pada 7 Jun ini  sehingga tamat tempoh kuarantin.

“Sebelum saya kembali kepada pasukan, saya nak jaga isteri saya terlebih dahulu dan apabila semua sudah pulih dan selesai, mungkin saya akan masuk ke kem pada 12 Jun”, jelasnya.

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis