Faizal Azumu akui terasa hati, tak mahu PN Perak berpecah

PolitikFaizal Azumu akui terasa hati, tak mahu PN Perak berpecah

KEMELUT politik Perak pada Jumaat kian hangat dengan gerakan usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal mengakui terasa hati dengan gerakan usul undi percaya yang dikemukakan wakil rakyat Umno kepada beliau dalam Persidangan Dewan Negeri Perak, Jumaat.

Beliau bagaimanapun tidak mahu kemelut yang melanda itu merenggangkan hubungan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Perak sehingga menimbulkan perpecahan.

Menurutnya, sehingga hari ini, Umno masih bersama dalam kerajaan PN, begitu juga di peringkat Pusat hubungan kerjasama yang terjalin masih kukuh.

“Apabila mereka ambil tindakan seperti pagi tadi tanpa berbincang dengan rakan-rakan lain, tentunya kami daripada Bersatu terasa hati.

“Mungkin nanti kita duduk baliklah untuk bersembang, tetapi pada saya kerajaan PN di peringkat Pusat masih kukuh dan saya pun tak minta PN di Perak ini berpecah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadap sembah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di Ipoh, Jumaat.

Mengulas mengenai pendirian PAS untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan yang baharu di Perak, beliau berkata, ia bukti menunjukkan bahawa usul undi percaya itu tidak menguntungkan sesiapa.

Katanya, keadaan itu hanya menimbulkan masalah baharu terutama terhadap usaha pembentukan kerajaan pada ketika rakyat sudah memberi keyakinan terhadap pentadbiran sedia ada.

“Jika kita ambil keputusan yang hanya mementingkan satu-satu maksud, maka akan menyebabkan reaksi berbeza pihak lain.

“Akhirnya ia tidak mendatangkan keuntungan kepada kita sendiri, macam sekarang inilah, soal tubuh kerajaan, ini masalah yang perlu kita cari jalan selesaikan,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan parti itu membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu.

Seramai tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Perak menyokong undi percaya terhadap Ahmad Faizal selaras dengan pendirian dibuat oleh Lajnah Politik PAS Pusat. – Sinar Harian

Berkaitan

Komen

1 komen

  1. Kurang nasib baik mantan MB Perak
    Last day baru dia tunjukkan skil dia
    Selama ni macam Ayam mati
    Terpakai pula sidang media petang 5 dec2020
    Tegas Terang Yakin
    Malang nya dah terlambat
    Masa Ada kuasa selalu lalai
    Insya Allah Pru15, boleh Cuba lagi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis