Dewan Rakyat Lulus RMK-12 Tanpa Pindaan

BeritaDewan Rakyat Lulus RMK-12 Tanpa Pindaan

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat sebentar tadi meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tanpa sebarang pindaan pada jam 5.50 petang.
Usul itu sebelum ini dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lalu, disusuli sesi perbahasan yang bermula 28 September hingga Isnin lalu.

Sesi penggulungan RMK-12 pula bermula Selasa, membabitkan 30 menteri dan timbalan menteri dengan penggulungan terakhir dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Seramai 106 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian sepanjang sesi perbahasan RMK-12.

Antara isu dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen dalam perbahasan sepanjang empat hari lalu itu ialah isu kesihatan, pembinaan sekolah daif, vaksin dan impak pasca COVID-19, pembangunan Sabah dan Sarawak, kemiskinan bandar, bantuan kepada rakyat miskin dan B40 serta pengurusan bekalan air negara.

Berhadapan pandemik COVID-19 di penghujung RMK-11, selain perubahan pimpinan kerajaan, pembentangan RMK-12 dipinda sekurang-kurangnya dua kali daripada tarikh asal pada 6 Ogos tahun lalu kepada Januari tahun ini, sebelum akhirnya dibentang pada minggu lalu.

Dengan kelulusan RMK-12 itu, ia juga menunjukkan komitmen bersama kerajaan dan pembangkang seiring pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, untuk terus memberi keutamaan kepada aspek pembangunan negara dan membantu rakyat ketika negara berdepan cabaran ekonomi dan kesihatan.

Usul RMK-12, yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan terbesar berjumlah RM400 bilion berbanding RM260 bilion dalam RMK-11, adalah pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

Ismail Sabri dalam temubual khas berkenaan RMK-12 sebelum ini menjelaskan rancangan lima tahun dengan objektif ‘Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’ itu juga dirangka berdasarkan penyatuan dan semangat rakyat yang saling membantu ketika negara berdepan ancaman pandemik COVID-19. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis