COVID-19: Tiga kluster baharu dikesan hari ini

NasionalCOVID-19: Tiga kluster baharu dikesan hari ini

Tiga lagi kluster baharu dikesan hari ini di Negeri Sembilan, Sabah dan Johor Bahru.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster pertama yang dikesan di Seremban, Negeri Sembilan itu dikenali sebagai Kluster Ceram dan sudah menjangkiti 171 individu.

“Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-65,468 dilaporkan positif COVID-19 pada 30 November lalu hasil saringan individu bergejala.

“Hasil saringan di tempat kerja beliau mendapati sebanyak 170 kes lagi dikesan positif COVID-19. Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 450 individu disaring,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi kluster kedua, Dr Noor Hisham berkata ia dikesan di Sandakan, Sabah yang dinamakan sebagai Kluster Pulau Berhala.

“Kluster ini membabitkan kes ke-52,089 dan dilaporkan positif COVID-19 pada 20 November lalu hasil saringan komuniti serta sudah menjangkiti 24 individu.

“Bagi kluster seterusnya, ia dikenali sebagai Kluster Jalan Tampoi yang dikesan di Johor Bahru dan sudah menjangkiti 17 individu.

“Kluster itu membabitkan kes indeks daripada kes ke-67,151 dan dilaporkan positif COVID-19 pada 1 Disember lalu hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 212 individu sudah disaring, di mana 17 kes dikesan positif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata hari ini terdapat tiga kluster yang tamat iaitu Kluster Palma, Kluster Merpati dan Kluster Makekar.

Bagi kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi hari ini adalah Kluster Ceram (155 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes), Kluster Cergas (92 kes) dan Kluster Tembok (92 kes).

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis