Covid-19: Membantu, Bukan Tuding Jari – Permaisuri Johor

BeritaCovid-19: Membantu, Bukan Tuding Jari – Permaisuri Johor

JOHOR BAHRU – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menegaskan tindakan menuding jari dengan menyalahkan individu atau pihak berkuasa secara berterusan tidak akan membantu mengurangkan penularan Covid-19.

Dalam hantaran yang dikongsi baginda dalam laman sosial The Royal Johor, baginda menyeru kepada pihak yang berkemampuan untuk membantu hospital atau mereka yang ditimpa kesusahan dalam apa juga bentuk yang boleh. 

“Jangan lupa bahawa ada di antara kita yang perlu bertanggungjawab juga atas keadaan sekarang ini. Contohnya, ramai yang berkumpul ketika Aidilfitri sedangkan sudah diberi amaran yang cukup jelas untuk tidak berbuat demikian.

“Pihak polis pula yang dipersalahkan kerana tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaiknya, sedangkan ada keluarga yang sanggup menyembunyikan kasut raya mereka di dalam rumah untuk mengaburi pihak berkuasa. 

“Kita mesti menerima hakikat bahawa peningkatan mendadak kes Covid-19 mempunyai asasnya dalam keengganan lapisan masyarakat kita untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Sama ada kita memilih untuk menyalahkan kerajaan ataupun diri sendiri, mencari kesalahan semata-mata tidak akan mengurangkan bilangan pesakit di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) atau mengurangkan tekanan yang dihadapi keluarga yang terpaksa bersempit dalam flat satu bilik, mahupun mereka yang kehilangan pendapatan dan buntu bagaimana mencari nafkah untuk keluarga,” titahnya.

Titah baginda lagi, walaupun rakyat Malaysia berhak untuk mengkritik dan mempersoalkan tindak tanduk keputusan yang diambil kerajaan.

Namun, kita juga wajar bermuhasabah tentang kemampuan sendiri.

“Bukan semua dalam kalangan kita merupakan pakar perakaunan, ekonomi atau perubatan bertauliah yang kemahirannya diperlukan dalam pengurusan pandemik. 

“Hakikatnya, tiada siapa pun di dalam dunia ketika ini mempunyai pengalaman dalam pengurusan pandemik pada skala yang dihadapi sekarang.

“Sememangnya, ‘trend’ kebebasan bersuara kini cukup mudah disalahgunakan dengan mengkritik atau mengejek orang lain di sebalik papan kekunci dan identiti yang tersembunyi,” titahnya.

Baginda turut mencadangkan dua perkara konstruktif yang boleh dibuat oleh semua iaitu bersatu dalam membantu petugas barisan hadapan dan bantu mereka yang hidup dalam kesusahan.

“Keluarga saya akan meneruskan bantuan yang dilaksanakan sekian lama kepada golongan susah, kehilangan pekerjaan, atau bergaji kecil yang kadang-kala bersamaan dengan nilai sekali makan di restoran Jepun mewah. 

“Mungkin bantuan kami kecil di mata sesetengah orang, tetapi kami tetap cuba membuat yang terbaik,” titahnya.

Baginda bertitah, media sosial memberi sesetengah pihak satu perasaan yang palsu, seolah-olah mereka arif dalam segala isu semasa dan egonya terus berkembang dengan suapan ‘likes’ untuk kandungan yang mereka paparkan. 

Titahnya, pandemik ini menampakkan jurang perbezaan antara mereka yang hidup senang dengan mereka yang kurang bernasib baik. 

“Ia juga menampakkan jurang antara mereka yang sanggup dan sudi membantu secara sukarela dengan mereka yang selesa di belakang papan kekunci masing-masing, mencari kesalahan yang tidak berkesudahan.

“Pihak hospital merupakan entiti yang paling terkesan. Lihatlah saja kontena-kontena yang terpaksa diubah suai menjadi bilik mayat serta cabaran lain yang kita lihat sepanjang tahun lalu. 

“Apa salahnya kita tunjukkan, walaupun sedikit, penghargaan atas segala pengorbanan mereka dalam merawat ataupun menyelamatkan pesakit dari ambang kematian?

“Kita mesti sedar bahawa kita semua mempunyai peranan untuk dimainkan. Pokok pangkalnya, pepatah lama ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ tetap terpakai dalam waktu yang cukup menakutkan dan tidak menentu kini.

“Apa jua sekalipun, saya pasti rakyat Malaysia mempunyai kekuatan dan ketabahan untuk melalui dugaan ini bersama,” titahnya. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis