Boleh Rentas Negeri Sebaik Capai 90 Peratus Vaksinasi Dewasa

BeritaBoleh Rentas Negeri Sebaik Capai 90 Peratus Vaksinasi Dewasa

KUALA LUMPUR – Rakyat dibenarkan merentas negeri dengan syarat negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini, berkata perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikannya hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan, kerajaan turut membenarkan pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan apabila mencapai kadar vaksinasi berkenaan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh KKM.

“Pusat, premis dan produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, juga dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuat kuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha, operator dan pelawat atau pengunjung lengkap divaksin,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan selepas kira-kira lapan bulan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Malaysia berjaya mencapai kadar 80 peratus daripada penduduk dewasa lengkap menerima vaksin COVID-19. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis