BNM Sedia Kerjasama Siasat Pendedahan Pandora Papers

BeritaBNM Sedia Kerjasama Siasat Pendedahan Pandora Papers

KUALA LUMUR – Bank Negara (BNM) sedia bekerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang untuk memantau dan menyiasat dokumen terkandung di dalam Pandora Papers yang membabitkan individu di negara ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, BNM sebagai pihak berkuasa berwibawa sentiasa bersedia bekerjasama dan memanjangkan sokongan kepada agensi terbabit seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta yang berkaitan.

“Pemantauan berterusan, kalau ada mencurigakan, sentiasa dibuat agensi penguatkuasa undang-undang dan agensi pengawal selia Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Maka kalau ada sebarang isu yang timbul, inilah agensi yang bertanggungjawab. Kalau ada perkara yang perlu disiasat, BNM sentiasa sedia bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan RUU terbabit.

Anwar sebelum ini mengemukakan usul mendesak Dewan Rakyat membahaskan pendedahan dibuat Pandora Papers yang didakwa menyentuh individu berpengaruh di negara ini termasuk ahli politik.

Mengulas lanjut, Zafrul berkata, sebarang maklumat kewangan boleh diketahui melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selain mekanisme pertukaran maklumat membabitkan percukaian termasuk menerusi perjanjian mengelakkan percukaian dua kali dengan 74 negara.

“Institusi pelapor adalah disenaraikan dalam jadual pertama AMLA, ini termasuk institusi pelapor dikawal selia BNM, Labuan FSA dan Suruhanjaya Sekuriti.

“Mereka perlu mematuhi obligasi pelaporan termasuk menjalankan proses ketekunan wajar pelanggan dan memfailkan laporan transaksi mencurigakan (STR) atau laporan pemindahan wang (CTR) apabila terdapat tanda mencurigakan dalam transaksi kewangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan sebulat suara RUU berkenaan selepas dibahas seramai 30 Ahli Parlimen.

Terdahulu, Zafrul ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU terbabit menjelaskan, pindaan dibuat adalah bagi memperoleh kelulusan untuk meningkatkan had siling perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19) daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion.

Ia juga bagi meningkatkan had statutori hutang semasa daripada 60 kepada 65 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang bertujuan membiayai langkah memastikan momentum pemulihan negara dapat diteruskan.

Malah, RUU itu turut membabitkan anggaran perbelanjaan tambahan yang dipohon di bawah Fasal 3 iaitu sebanyak RM45 bilion. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis