Bersetuju Dalam Sesuatu Perkara Bukan Bermaksud Berkerjasama

BeritaBersetuju Dalam Sesuatu Perkara Bukan Bermaksud Berkerjasama

4 September 2021

Oleh : Wan Khairul Ihsan WK

Saya melihat perkembangan politik negara berada dalam keadaan yang amat baik malah jarang sekali kita mendengar sejarah sebuah kerajaan yang terbuka memanggil parti-parti pembangkang untuk berada di meja perundingan demi tujuan dan objektif-objektif tertentu.

“Keluarga Malaysia” yang dijadikan asas kepada pengurusan Kerajaan Malaysia oleh YAB DS Ismail Sabri hari ini membuktikan negara sedang beralih kepada satu paradigma politik baru yang bakal menguntungkan rakyat.

Ianya bukan berkisar soal keterbukaan kerajaan hari ini semata tetapi ianya lebih jauh dari itu kerana sikap keterbukaan untuk membincangkan sesuatu isu atau agenda negara yang diterjemahkan oleh batang tubuh YAB DS Ismail Sabri itu sendiri.

DS Ismail Sabri lebih awal menunjukkan sikap keterbukaan beliau apabila satu usul yang telah dibawa oleh YB Syed Saddiq berkaitan UNDI18 ke parlimen era pemerintahan PH telah disambut baik oleh DS Ismail Sabri yang merupakan Ketua Pembangkang ketika itu. https://m.malaysiakini.com/news/484114

Pembangkang itu bukan hanya perlu untuk membangkang sembrono tetapi menggunakan kebijaksanaan untuk menambahbaik usul yang dibawa dengan memberikan sokongan bersyarat dan akhirnya kerajaan PH ketika itu bersetuju untuk meminda usul dan dibentangkan kembali dengan menerima syarat dari pembangkang sebagai usul yang diluluskan sebulat suara.

Ini bukti bahawa Perdana Menteri(DSIS) hari ini bukan Perdana Menteri kepada parti UMNO,PPBM,PAS dan GPS sahaja malah beliau merupakan seorang Perdana Menteri kepada semua parti politik lain dan keseluruhan rakyat Malaysia.

Sikap keterbukaan beliau bukan disebabkan keadaan kerajaan yang tidak terjamin tetapi itu merupakan sikap dan keperibadian beliau untuk meletakkan keutamaan rakyat pada tempat teratas.

Apa jua agenda dan isu yang akan menguntungkan rakyat dan negara maka ianya menjadi satu keperluan kepada PM untuk direalisasikan walau terpaksa menggunakan meja perundingan sebagai syarat kejayaan itu.

Tetapi istilah dan sikap keterbukaan PM itu tidak boleh disalah artikan dengan tunduk atau lemah. Atau dengan lebih jelas sikap keterbukaan PM tidak boleh diterjemahkan dengan istilah kerjasama politik. Kita tahu rakan UMNO amat sensitif dengan DAP dan ANWAR.

Dari pertemuan di meja perundingan pemimpin seperti Anwar, LGE dan Mat Sabu tempoh hari telah sedikit sebanyak mencipta satu persepsi yang tidak betul dari pertemuan secara rasmi itu.

Pertamanya, ia merupakan pertemuan seorang Perdana Menteri dengan barisan pemimpin Blok Pembangkang.

Itu merupakan suatu urusan kerajaan(Rasmi) dan bukannya urusan politik kepartian. Perihal yang disepakati pula jelas iaitu berkaitan usaha menangani pandemik kesihatan dan ekonomi rakyat.

Tidak lebih dari itu. Ianya bukan pertemuan membincangkan halatuju parti kerana Presiden UMNO tidak berada dalam pertemuan itu.

Jika itu pertemuan dan perbincangan yang melibatkan parti sudah pasti ianya tidak berlaku di Pejabat Rasmi Kerajaan dan Presiden UMNO perlu dilibatkan.

Segala bentuk persefahaman atau persetujuan yang dicapai sehingga meredakan suhu politik negara pada masa ini merupakan satu usaha yang tidak pernah kita jangkakan.

Saya cukup yakin ianya berlaku bukan secara kebetulan tetapi merupakan tanda kepada kemampuan seorang Perdana Menteri yang tidak dapat dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Penyelesaian setiap permasalahan dilihat teratur dan tertib.

Jaminan vaksin untuk agenda vaksinasi negara menuju “Herd Immunity” meyakinkan rakyat. Kelewatan Bantuan Khas Covid(BKC) telah dituntaskan. Mempelawa pemimpin pembangkang untuk berada dalam Jawatankuasa Khas Menangani Pandemik telah diumumkan.

Pandangan dan cadangan sudah pasti boleh disalurkan terus kepada kerajaan tanpa perlu lagi mengkritik secara terbuka atau perlu menunggu sidang parlimen.

Semua ini merupakan situasi dimana kita senang, tenang dan lega merasakan negara berada dalam keadaan yang aman dan tiada pergolakan politik sehingga merencatkan usaha untuk membantu rakyat. Rakyat juga jelas melihat apa yang akan, sedang dan telah kerajaan lakukan.

Harapan rakyat untuk keluar dari pandemik dan hidup dalam endemik semakin jelas. Cahaya di hujung terowong semakin dekat untuk dilihat.

Kejayaan Keluarga Malaysia bakal dikecapi seluruh rakyat pelbagai agama dan bangsa merentasi sempadan politik.

Sokongan dan dokongan padu rakyat dan pemimpin kepada Perdana Menteri amat diperlukan untuk kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya.

Alhamdulillah ..Negaraku AMAN sekarang.Terima Kasih YAB PM DSIS.

#KeluargaMalaysia #KerajaanHampirBerjaya #MerdekaWKI

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis