‘Bendera putih’ untuk Man Kidal

Gaya Hidup‘Bendera putih’ untuk Man Kidal

KUALA LUMPUR: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah perkembangan terkini pemain gitar legenda, Man Kidal, 57, yang bukan sahaja disahkan positif COVID-19, malah berdepan kesempitan hidup akibat tidak bekerja lebih setahun lalu.

Berkongsi perkara itu, isteri Man Kidal, Norlaila Yusof mendedahkan hidup mereka sukar sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac tahun lalu apabila kerajaan melarang aktiviti persembahan terbuka demi mengawal penularan COVID-19.

Norlaila yang juga pengurus Man Kidal memberitahu, suaminya yang menjadikan bidang muzik sebagai periuk nasi, hilang pendapatan akibat tiada ‘job’.

“Dalam situasi sekarang, saya rasa sedih dengan nasib menimpa suami. Sudahlah hampir dua tahun tidak dapat bekerja, sekarang dijangkiti COVID-19.

“Terus-terang, kami memang mengharapkan bantuan seikhlas hati daripada mana-mana pihak.

“Tidak kisahlah apa sahaja bantuan yang bakal dihulurkan. Dengan keadaan abang Man yang dijangkiti virus COVID-19 dan tidak berkerja, kami terima sahaja.

“Lagipun, sepanjang pembabitan abang Man dalam bidang seni, belum pernah kami meminta bantuan daripada mana-mana pihak. Kalau ada pun, tak pernah dapat,” luahnya kepada BH Online.

Disebabkan tidak dapat bekerja, Norlaila memberitahu, suaminya berusaha mencari ikhtiar lain untuk meneruskan kelangsungan hidup termasuk berniaga dan melakukan projek tertentu yang boleh menampung kehidupan.

Bagaimanapun, usaha itu terbantut disebabkan pandemik COVID-19.

“Kali terakhir abang Man buat persembahan adalah pada 2019 di Singapura. Apabila tidak boleh bekerja, duit simpanan yang ada kami gunakan untuk dijadikan modal perniagaan.

“Selain itu, abang Man ada menjalankan beberapa projek termasuk kolaborasi dengan bekas gitaris kumpulan Search, Hillary Ang.

“Bagaimanapun, pandemik ini menyebabkan perniagaan terjejas dan projek yang dijalankan tertangguh. Duit sudah banyak keluar tetapi yang masuk langsung tiada.

“Tetapi kami faham dalam keadaan hari ini, memang ramai yang terkesan. Sebagai antara mereka yang terkesan, kami memang mengharapkan ada pihak yang simpati dan sudi menghulurkan bantuan,” pinta wanita berusia 57 tahun ini.

Norlaila Yusof mendedahkan suaminya yang juga pemain gitar legenda, Man Kidal melalui kehidupan sukar selepas aktiviti persembahan terbuka tidak dibenarkan. – Foto IG Man Kidal
Beralih kepada perkembangan terkini mereka, Norlaila yang terlebih dahulu disahkan positif COVID-19 memaklumkan kesihatannya beransur pulih berbanding suami.

“Tahap kesihatan saya okay sedikit berbanding suami yang masih lemah dan tidak bermaya. Keadaan abang Man agak teruk kerana demam panas dan dia menjadi tidak tentu arah disebabkan sakitnya itu.

“Mujur dia tidak mengalami sesak nafas. Sepatutnya kami kena pergi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati.

“Memandangkan keadaan di situ teruk dan ramai orang, kami memilih untuk tinggal di rumah memanggil doktor untuk membuat pemeriksaan.

“Doktor menasihatkan kami untuk kuarantin kendiri di bilik masing-masing. Bagaimanapun jika berlaku kecemasan terutama jika ada di antara kami mengalami sesak nafas, dia meminta kami untuk menghubungi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan segera,” katanya.

Berita Man Kidal atau nama sebenar, Rahman Mahmood dan Norlaila dijangkiti virus berbahaya itu disahkan anak bongsunya, Nur Syahirah Rahman, Isnin lalu.

Nur Syahirah dilaporkan berkata, bapanya disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian calitan di sebuah klinik swasta kerana menjadi kontak rapat kepada ibunya.

Nur Syahirah berkata, ibunya mengalami demam berpanjangan dan batuk sejak minggu lalu. Selepas menjalani ujian saringan COVID-19, ibunya disahkan positif COVID-19 dan diminta menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Tambahnya, selain ibu bapa, bapa saudara dan dua anak saudara juga membuat ujian calitan kerana tinggal serumah.

Aktif sejak 1979, nama Man Kidal digunakan kerana bermain gitar dengan tangan kiri. Menubuhkan kumpulan Lefthanded.

Kali terakhir tampil sebagai pemuzik undangan bagi lagu Sumpah dendangan Naim Daniel pada 2019.

Berita Harian

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis