Batalkan Kompaun Tak Kemas Kini MySejahtera

BeritaBatalkan Kompaun Tak Kemas Kini MySejahtera

KUALA LUMPUR – Tidak kemas kini aplikasi MySejahtera bukan satu kesalahan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, perkara itu tidak terkandung dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) untuk dikenakan tindakan kompaun oleh pihak berkuasa.

“Saya berharap dan menyarankan kompaun yang dikeluarkan atas kesalahan terbabit perlulah dibatalkan.

“Pegawai penguat kuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Ismail Sabri berkata, walaupun bukan kesalahan namun rakyat perlu berintegriti dan mempunyai tanggungjawab terhadap aplikasi MySejahtera yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Justeru, katanya, penting untuk melakukan kemas kini setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan dan aktiviti.

Menurutnya, rakyat juga perlu jujur dalam memberikan maklumat berkaitan diri untuk memastikan setiap maklumat diberikan tepat termasuk sekiranya mendapat gejala atau kontak rapat kes positif Covid-19.

“Aplikasi ini adalah untuk memudahkan kita khususnya dalam keutamaan memastikan keselamatan sosial untuk kepentingan kesihatan agar kes positif, kontak rapat, kontak kasual dan sebagainya dapat ditangani dengan segera.

“Segala salah faham dan kekeliruan yang timbul sebelum ini dapat ditambah baik dan saya juga mohon pemahaman daripada semua pihak agar kita sama-sama berusaha untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Namun beliau berkata, perlu diakui penguatkuasaan dan kompaun yang dikeluarkan adalah bagi memastikan setiap individu patuh kepada arahan atau SOP ditetapkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kesalahan melanggar SOP membabitkan syarikat atau kilang beroperasi melebihi masa ditetapkan perlu dibuat kepada majikan atau syarikat yang memaksa pekerja melakukan tugas lebih masa ditetapkan.

Beliau berkata, kesalahan bukan dilakukan oleh pekerja kerana mereka terpaksa akur kepada arahan majikan maka tindakan kompaun boleh dikeluarkan kepada pihak syarikat, kilang atau majikan yang memberikan arahan.

Menurutnya, syarikat yang masih menetapkan pekerjanya datang ke pejabat walaupun arahan untuk melaksanakannya di rumah (work from home), maka kompaun adalah kepada majikan juga. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis