Bakal Haji Dinasihat Sabar Tunggu Pengumuman

BeritaBakal Haji Dinasihat Sabar Tunggu Pengumuman

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati bakal haji Malaysia agar bersabar menunggu pengumuman rasmi mengenai status ibadah haji tahun ini. 

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata TH akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada semua bakal haji, sebaik memperoleh keputusan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi, meliputi jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah haji bagi musim ini. 

“Orang ramai dinasihat untuk menunggu maklumat rasmi dari TH dan untuk sebarang pertanyaan, boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) di 03-62071919,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

TH sudah memulakan persiapan awal sejak tahun lalu, dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan, serta amalan norma baharu dalam pengendalian operasi haji, sama ada di tanah air mahupun di Tanah Suci termasuk keperluan baharu di mana semua jemaah haji perlu melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Syed Saleh berkata, TH telah menyarankan semua bakal haji yang terpilih pada tahun 2020 untuk mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan mereka mula menerima suntikan vaksin itu di samping suntikan wajib meningococcal sejak Mac lalu.

“Namun begitu, bakal haji masih perlu lulus pemeriksaan kesihatan apabila menerima surat tawaran tunai haji kelak,” tambah beliau. 

Sehubungan itu, beliau menyarankan semua bakal haji untuk membuat persiapan sewajarnya kerana pelaksanaan rukun Islam kelima itu memerlukan persediaan dari aspek ilmu ibadat, kesihatan yang baik, rohani dan jasmani, serta kewangan secukupnya bagi memastikan semua rukun dan wajib haji dapat dilaksanakan dengan sempurna. 

Beliau berkata bakal haji juga perlu bersedia menghadapi kelainan dalam menunaikan haji pada kali ini, disebabkan norma baharu yang akan diamalkan pada musim ini. – BERNAMA

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis