Arab Saudi jangka mampu selesaikan krisis Negara Teluk

DuniaArab Saudi jangka mampu selesaikan krisis Negara Teluk

MANAMA: Penyelesaian krisis diplomatik Negara Teluk sedang diteliti dengan semua negara yang terbabit mengambil bahagian dan persetujuan akhir dijangka akan diputuskan tidak lama lagi, kata Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan.

Dalam wawancara dengan AFP yang dibuat di Bahrain semalam, pegawai diplomat tertinggi Arab Saudi turut menegaskan bahawa Negara Teluk mesti melalui proses rundingan sepenuhnya sekiranya pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengembalikan perjanjian nuklear dengan Iran.

“Satu-satunya cara bagi mencapai perjanjian yang lestari adalah melalui proses rundingan,” katanya ketika bercakap di luar daripada persidangan keselamatan yang berlangsung di Manama.

Sehingga hari ini, krisis Negara Teluk berlarutan selama tiga tahun dengan sekumpulan negara serantau memulaukan Qatar.

Bagaimanapun Putera Faisal berkata, krisis itu akan berjaya diatasi.

“Kami melaksanakan koordinasi sepenuhnya dengan rakan kongsi dalam proses ini dan prospek yang dilihat adalah sangat positif ke arah memuktamadkan perjanjian akhir.

“Apa yang kami bayangkan adalah penyelesaian yang merangkumi semua aspek dan memuaskan bagi semua pihak yang terbabit,” katanya.

Beliau turut berkata, perjanjian bagi krisis itu akan dimeterai dalam masa terdekat.

Pada Jun 2017, Arab Saudi bersama negara sekutunya, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan dengan Qatar.

Ia berpunca daripada hubungan baik Qatar dengan Iran dan negara itu didakwa membiayai gerakan radikal Islam.

Penganalisis bagaimanapun meramalkan sebarang kejayaan bagi rundingan itu mungkin hanya membabitkan hubungan antara Riyadh dan Doha, tidak termasuk UAE yang menjadi pengkritik paling lantang terhadap Qatar sejak krisis itu bermula. – AFP

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis