Antarabangsa Sepanyol: Ramdan bangkit mara ke pusingan kedua

Gaya HidupAntarabangsa Sepanyol: Ramdan bangkit mara ke pusingan kedua

Ramdan berjaya bangkit mencari mata kemenangan untuk mara ke pusingan kedua.

MISBUN Ramdan Misbun bangkit daripada ambang kekalahan untuk merampas tempat ke pusingan kedua badminton Kejohanan Antarabangsa Sepanyol.

Selepas tewas 28-30 pada set pertama, Ramdan menyaksikan dirinya sekali lagi ketinggalan 19-20 di set kedua kepada wakil Perancis, Yanis Gaudin sebelum menang 23-21 untuk mengheret pertemuan hingga ke rubber game.

Akhirnya Ramdan, 30, anak kepada Pengarah Teknikal Skuad Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek, menang 21-11 untuk menjadi wakil tunggal negara di pusingan kedua perseorangan lelaki,selepas bertarung 62 minit.

Ramdan akan berdepan pilihan ketiga Pablo Abian dari Sepanyol di pusingan kedua nanti.

Terdahulu, segalanya tidak menjadi untuk Lim Chong King yang mengharapkan kejohanan ini dapat menaikkan semangat dan keyakinannya.

Sebaliknya, apa yang berlaku adalah Chong King tunduk kepada pemain Republik Czech, Jan Louda 21-17, 21-15, sekali gus memusnahkan impiannya.

Chong King, pemain ranking ke-160 dunia, yang pernah disebut-sebut mempunyai potensi besar oleh Misbun, bagai hilang punca dalam aksi di kejohanan keduanya tahun ini.

Menentang lawan yang berada 30 tangga di bawah rankingnya, Chong King, 21, tidak dapat menampilkan permainan yang diharapkan daripadanya.

Malah perlawanan selama 41 minit itu hanya mengulangi nasibnya yang tersingkir di pusingan pertama Terbuka Poland, Mac lalu.

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis