Acara Sempena Hari Keputeraan Rasmi Agong Ditangguhkan

BeritaAcara Sempena Hari Keputeraan Rasmi Agong Ditangguhkan

KUALA LUMPUR – Semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bulan depan, ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata penangguhan itu yang dibuat atas titah perkenan Seri Paduka Baginda disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun ini. 

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah memberi perkenan penangguhan itu selepas mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan umum serta untuk melindungi nyawa rakyat, demi mengelakkan krisis kesihatan yang lebih buruk.

“Perkenan ini juga sebagai langkah perlindungan kerana negara masih lagi menghadapi dan memerangi penularan wabak COVID-19.

“Ini kali kedua semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda ditangguhkan selepas pada tahun lalu, semua acara juga ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ahmad Fadil berkata walaupun tiada acara sambutan, 7 Jun depan tetap diisytiharkan sebagai hari kelepasan am atau cuti umum sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis