6 Peratus Menjelang Populasi Dewasa Lengkap Divaksin

Berita6 Peratus Menjelang Populasi Dewasa Lengkap Divaksin

KUALA LUMPUR – Hanya enam peratus berbaki sebelum Malaysia mencapai 100 peratus golongan dewasa divaksin sepenuhnya.
Melalui unjuran dikeluarkan COVIDNOW, Malaysia dijangka mencapai 100 peratus lengkap vaksin menjelang penghujung tahun ini iaitu pada 28 Disember atau 67 hari lagi.

Setakat semalam, sejumlah 94.3 peratus rakyat dewasa berusia 17 tahun ke atas sudah lengkap divaksin manakala bilangan yang menerima satu dos adalah 97.3 peratus.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menerusi Twitter turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang bertanggungjawab melaksanakan program vaksinasi sejak Februari lalu.

Beliau berkata, CITF mengadakan mesyuarat terakhirnya hari ini dan proses vaksinasi seterusnya akan diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

“Dengan hampir 95 peratus dewasa divaksin sepenuhnya, CITF mengadakan mesyuarat terakhirnya hari ini. Terima kasih kepada semua di CITF yang menjadikan PICK satu kejayaan.

“Vaksinasi seterusnya akan berada di bawah @KKMPutrajaya dengan CITF-A (remaja) dipengerusikan oleh @DrNoorAzmi (Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali) dan CITF-B (dos penggalak) oleh saya,” katanya.

Khairy turut memuat naik gambar bermesyuarat bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba.

Data COVIDNOW menunjukkan, golongan dewasa yang divaksin sepenuhnya adalah 22,084,594 orang, belum lengkap divaksin adalah 708,322 (tiga peratus) manakala 1,113,317 orang (4.8 peratus) tiada vaksinasi.

Sejumlah 48,673,215 dos suntikan sudah diberi kepada penduduk Malaysia dengan 235,607 dos harian disuntik.

Bagi dos penggalak, sebanyak 66,672 diberikan dengan 19,047 dos penggalak harian disuntik.

Data keseluruhan penduduk Malaysia yang lengkap divaksin adalah 71.8 peratus dan 77.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis