31 Ahli Parlimen UMNO, BN Umum Sokong PN

Berita31 Ahli Parlimen UMNO, BN Umum Sokong PN

KUALA LUMPUR – Seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) hari ini, menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika mengumumkan pendirian itu, mereka juga menyokong supaya keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepemimpinan Perdana Menteri ditentukan ketika persidangan Parlimen pada September depan.

Pendirian itu dinyatakan dalam sidang media yang dihadiri 21 Ahli Parlimen UMNO dan BN, diketuai Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Seramai 10 lagi Ahli Parlimen UMNO, BN yang bersetuju mengambil pendirian sama, tidak hadir ketika sidang media terbabit.

Ismail Sabri berkata, pendirian 31 ahli Parlimen itu diputuskan bersandarkan titah Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan.

Berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong, katanya, semua ahli Parlimen boleh menentukan sendiri pendirian masing-masing sama ada menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan.

“Jelas bahawa baginda mahu supaya persidangan Parlimen diadakan dan penentuan sama ada kerajaan ini akan terus berfungsi selepas September, ditentukan oleh Ahli Parlimen sendiri.

“Kami Ahli Parlimen yang setia kepada Yang di-Pertuan Agong akan patuh kepada titah baginda, dan apa jua perkara yang nak diselesaikan perlu dilakukan di Parlimen.

“Ini jelas bahawa pihak istana tidak lagi menerima akuan bersumpah atau surat sokongan. Jelas bahawa kenyataan Presiden UMNO yang mengatakan akan menghantar surat akuan (menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri), adalah bertentangan dengan perkenan dan keputusan dibuat Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Selain Ismail Sabri, 17 lagi Ahli Parlimen yang hadir adalah Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap); Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Datuk Seri Idris Jusoh (Besut); Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak); Datuk Seri Hasan Arifin (Rompin); Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Selain itu, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau); Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis); Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Maran); Mohd Shahar Abdullah (Payar Besar); Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar); Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas); Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu); Datuk Salim Sharif (Jempol); Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Datuk Seri M Saravanan (Tapah).

Tiga Ahli Parlimen yang menandatangani pendirian berkenaan namun tidak hadir adalah Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang); Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin).

Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan, 10 lagi Ahli Parlimen yang tidak hadir tetapi bersetuju secara mulut kerana belum menandatangani pendirian berkenaan.

Mereka ialah Khairy Jamaluddin (Rembau); Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara); Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas); Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong).

Selain itu, Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan); Datuk Mohamad Alamin (Kimanis); Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya) dan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).

Ismail Sabri berkata, tindakan meninggalkan kerajaan (PN) secara tergesa-gesa dan menumbangkan kerajaan sedia ada ketika ancaman COVID-19 adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Justeru, Ismail Sabri mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak mengambil tindakan yang boleh merugikan parti dan membebankan rakyat. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis