3 Fokus Utama Hishammuddin

Berita3 Fokus Utama Hishammuddin

KUALA LUMPUR – Tiga fokus utama diberikan perhatian oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mengembleng tenaga dan usaha perangi COVID-19.

Beliau berkata, tiga fokus itu selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang meminta setiap menteri menunjukkan hasil serta menetapkan sasaran atau petunjuk prestasi utama (KPI) jangka pendek dan sederhana bagi kementerian masing-masing.

“Sebab itu, saya tetapkan supaya Pasukan Petugas Khas baharu ditubuhkan bertujuan menyelaras Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan dalam mengurus usaha demi memenuhi agenda nasional terutama berkaitan COVID-19.

“Pasukan Petugas Khas ini akan diketuai oleh Timbalan Menteri, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan harus lapor terus kepada saya setiap minggu,” katanya kepada BH.

Hishammuddin berkata, fokus kedua beliau adalah menambah baik inisiatif di Kementerian Pertahanan dan ATM dengan mengambil kira Pelan Pemulihan Negara (PPN), Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) dan usaha Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, fokus ketiga adalah mengenai aspek kebajikan warga ATM, Kementerian Pertahanan dan ahli keluarga mereka; diplomasi ketenteraan; aspek keselamatan antarabangsa khususnya dalam memerangi pengganas dan mempertahankan keselamatan negara.

Pada masa sama, katanya ATM akan terus terbabit dengan lebih menyeluruh dalam usaha memerangi COVID-19.

Untuk itu, katanya, kelebihan sedia ada di Kementerian Pertahanan dan ATM akan digunakan dan digemblengkan sepenuhnya.

Katanya, ini termasuk infrastruktur milik ATM di seluruh negara seperti Hospital Angkatan Tentera, Hospital Medan serta sekolah dalam kem ATM akan ditingkatkan penggunaannya bagi memenuhi keperluan agenda nasional.

“Saya telah arah tiga inisiatif awal dilaksanakan segera iaitu menambah hospital medan di negeri yang akan ditentukan KKM; menyediakan lebih banyak tim vaksinasi ATM dan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu untuk masyarakat awam,” katanya. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis