20,885,218 Daftar Vaksin Covid-19

Berita20,885,218 Daftar Vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR – Empat negeri masih merekodkan kadar pendaftaran bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) terendah membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah, setakat kelmarin.

Berdasarkan infografik di laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Sabah merekodkan peratusan terendah pendaftaran vaksinasi iaitu 42.9 peratus atau 1,182,703 individu dewasa sudah berdaftar.

Ini diikuti Kelantan yang merekodkan 64.5 peratus atau 796,795 individu berdaftar manakala Terengganu dengan 79 peratus (638,240 individu) dan Pahang pula 79.5 peratus (934,493 individu).

Menteri Penyelaras Pick, Khairy Jamaluddin berkata, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mempertimbangkan dua kriteria penghantaran vaksin ke negeri bagi mengimbangi kadar pemberian vaksin di negeri merekodkan kapasiti pelalian terendah.

Menurutnya, ia bertujuan membolehkan nilai ambang 40 peratus daripada penduduk dewasa di seluruh negara mendapat imunisasi lengkap menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

“Dua kriteria itu adalah kawalan wabak iaitu menghantar vaksin ke negeri yang mencatatkan kes positif Covid-19 tinggi dan negeri dengan kadar suntikan masih rendah.

“Ia bertujuan memastikan negeri terbabit dapat menyamai negeri lain dan mencapai nilai ambang 40 peratus daripada populasi dewasa lengkap menerima dua dos pada hari kemerdekaan,” katanya dalam sidang media mingguan CITF secara maya, semalam.

Setakat ini, JKJAV merekodkan jumlah pendaftaran bagi Pick mencapai 20,885,218 orang di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 13,816,971 menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan selebihnya mendapat imunisasi lengkap.

Empat negeri sudah mencapai 100 peratus pendaftaran vaksinasi di kalangan penduduk dewasa yang layak mendapat suntikan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Selain itu, lima negeri yang menghampiri kadar 100 peratus pendaftaran vaksinasi adalah Johor dengan kadar pendaftaran mencapai 96.8 peratus (2,626,283 individu), Melaka dengan 95.5 peratus (647,045 individu); Pulau Pinang pula 93.9 peratus (1,284,343 individu); Labuan sebanyak 93 peratus (63,713 individu) dan Perlis dengan 91.3 peratus (165,434 individu).

Di Sarawak, kadar pendaftaran mencapai 88.1 peratus atau 1,798,744 individu dewasa manakala Perak dengan 80.5 peratus (1,499,310 individu) dan Kedah dengan 80.2 peratus (1,234,997 individu). – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis