2.679 Juta Warga Emas Sudah Mendaftar PICK

Berita2.679 Juta Warga Emas Sudah Mendaftar PICK

SEPANG – Seramai 1.742 juta warga emas di seluruh negara sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, daripada jumlah itu seramai 568,282 warga emas sudah menerima dua dos suntikan vaksin, manakala selebihnya menerima suntikan pertama sejak fasa kedua program vaksinasi berkenaan yang mengutamakan golongan warga emas dimulakan April lalu.

Katanya, secara keseluruhan seramai 2.679 juta warga emas sudah mendaftar iaitu 60 peratus daripada 3.2 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas bagi mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

“Bagaimanapun, masih terdapat kurang daripada satu juta warga emas yang masih belum mendaftar dan KPWKM sudah menggerakkan sukarelawan dari rumah ke rumah bagi membantu mereka membuat pendaftaran,” katanya pada Program Komuniti Gerobok Rezeki di Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi di sini, hari ini.

Program Komuniti Gerobok Rezeki ini menyediakan barangan makanan, susu dan lampin pakai buang kepada golongan memerlukan.

Ia diwujudkan di kawasan perumahan, surau dan masjid bertujuan menggalakkan komuniti turut serta menyumbang.

Sementara itu, Rina berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kementeriannya mengambil maklum mengenai kesihatan jiwa dilaporkan pihak media.

Menurut beliau, KPWKM menyediakan beberapa inisiatif bagi menangani krisis jiwa dan mental khususnya ketika pandemik Covid-19, meliputi khidmat aduan atas talian, sokongan psikologi tele-kaunseling, sokongan ekonomi, sokongan sosial dan pelaksanaan program berbentuk advokasi.

Katanya, perkhidmatan telekaunseling diwujudkan melalui Talian Kasih 15999 dan WhatsApp Talian Kasih 019-2615999 menunjukkan penurunan setakat enam bulan tahun ini berbanding tahun lalu.

“Penyakit mental ini sebenarnya bawah Kementerian Kesihatan (KKM) namun KPWKM bekerjasama membantu melalui lima inisiatif diperkenalkan.

“Tekanan jiwa ini bermula apabila individu itu dibuang kerja, disebabkan ekonomi kerana tidak mempunyai pendapatan selain mereka yang bekerja dari rumah kerana tidak boleh keluar.

“Ahli keluarga adalah orang yang paling hampir dan perlu cakna sekiranya melihat perubahan dalam kalangan ahli keluarga untuk menghubungi KPWKM bagi mendapatan bantuan serta sokongan psikologi akibat terkesan dengan penularan wabak Covid-19 dan PKP,” katanya. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis