12 Kluster COVID-19 Berkaitan Sambutan Aidilfitri Dikesan

Berita12 Kluster COVID-19 Berkaitan Sambutan Aidilfitri Dikesan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 kluster COVID-19 yang berkaitan sambutan Aidilfitri, dikesan setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kewujudan kluster itu membabitkan tujuh negeri, iaitu empat di Sabah, Kelantan (dua), Labuan (dua) dan masing-masing satu di Pahang, Pulau Pinang, Sarawak serta Selangor.

Beliau berkata, sebanyak 2,541 ujian saringan dilakukan dengan 470 orang disahkan positif dalam kluster terbabit, hingga kini.

“Hari ini adalah hari ke-14 Syawal, iaitu dua minggu selepas Aidilfitri disambut umat Islam seluruh negara.

“Hingga 13 Syawal atau 25 Mei 2021, 12 kluster komuniti (sub-kluster Hari Raya) dikesan membabitkan tujuh negeri.

“Ia menjangkiti 470 kes dengan 2,541 saringan telah dijalankan.

“Satu kes disahkan meninggal dunia membabitkan Kluster Jalan Tahir Manan di Selangor,” katanya melalui hantaran dalam Facebook, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, dua daripada kes COVID-19 berkenaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan Kluster Simpang Sahari di Labuan.

“Jumlah kes dijangka bertambah dan mungkin membabitkan lebih banyak negeri,” katanya.

Berdasarkan maklumat disertakan dalam hantaran itu, kluster komuniti berkaitan sambutan Aidilfitri dikesan setakat semalam, ialah Kluster Jalan Tahir Manan (Selangor).

Selain itu, Kluster Kampung Pangkal Payung serta Kluster Kepulauan Tumpat (Kelantan); Kluster Padang Lalang Dua (Pulau Pinang) dan Kluster Jalan Dara (Pahang).

Seterusnya, Kluster Simpang Sahari dan Kluster Patau-Patau (Labuan); Kluster Melikai Kluster Deluxe, Kluster Abaka dan Kluster Muhibbah Dua (Sabah); serta Kluster Taman Sourabaya Indah (Sarawak).

Mengikut graf bilangan kluster berkenaan mengikut negeri, Sabah menyumbangkan 33.33 peratus, disusuli Kelantan dan Labuan masing-masing 16.67 peratus.

Selangor, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang pula masing-masing menyumbangkan 8.33 peratus. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis