12 hari kuarantin, Alif Satar pulih jangkitan Covid-19

Gaya Hidup12 hari kuarantin, Alif Satar pulih jangkitan Covid-19

Penyanyi dan pengacara Alif Satar mengumumkan dirinya pulih jangkitan Covid-19 selepas 12 hari menjalani kuarantin di Hospital Melaka.

Alif, 30, berkata dirinya kini sihat dan sudah pulang ke pangkuan keluarga.

“Alif ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama sekali pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), produksi Muzik Muzik TV3, JS Pictures dan semua rakan industri Alif yang cukup prihatin atas segala yang berlaku dan bertindak pantas, mengambil tanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengambil ujian saringan sejurus selepas Alif disahkan positif Covid-19,” catatnya di Instagram.

Pelakon drama Red Velvet itu juga lega selepas mendapat tahu semua rakan-rakan artis dan kru produksi TV3 yang terlibat dalam program Muzik Muzik bebas Covid-19.

Sementara itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak memandang serong terhadap pesakit Covid-19.

“Hentikanlah stigma negatif, memulau, mengasingkan dan memandang serong mereka yang terkesan dengan wabak ini.

“Tiada siapa yang minta untuk dijangkiti.

“Budaya negatif ini bukanlah ciri-ciri yang baik sebagai rakyat Malaysia terutama sekali buat kita yang beragama Islam,” katanya yang mengambil keputusan meluangkan masa beberapa hari bersama keluarga sebelum kembali bekerja.

Alif pada 22 November lalu mengesahkan dirinya positif wabak selepas membuat persembahan pada separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam.

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis