100,000 Ibu Hamil Daftar Untuk Suntikan Vaksin COVID-19

Berita100,000 Ibu Hamil Daftar Untuk Suntikan Vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR – Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) menerima hampir 100,000 permohonan daripada ibu hamil di seluruh negara bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata janji temu kepada golongan itu sedang dikeluarkan secara berperingkat mengikut jangkaan tarikh melahirkan.

“Pada hujung minggu lalu, kita sudah memberikan 3,000 janji temu di Kuala Lumpur dan 224 janji temu di Perlis untuk ibu hamil.

“Pada hujung minggu ini, kita akan ada satu sesi vaksinasi kepada ibu hamil di Kuala Lumpur dan Perlis, manakala di negeri lain, ia sedang diproses dan kita akan keluarkan janji temu mengikut keutamaan berdasarkan jangkaan tarikh melahirkan dalam minggu akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Khairy berkata, CITF turut meluluskan 5,621 permohonan untuk mendapatkan vaksin awal daripada pelajar yang akan menyambung pengajian di luar negara.

“Bagi pelajar yang belum menerima janji temu, mereka boleh menghantar emel ke permohonan@vaksincovid.gov.my untuk diluluskan supaya mereka mendapat vaksinasi sebelum ke luar negara,” katanya.

Khairy turut memaklumkan, sehingga semalam, PICK merekodkan pendaftaran 5.01 juta individu untuk mendapatkan vaksin bagi Fasa Dua.

“Sehingga kini, pendaftaran untuk warga emas mencecah 2.68 juta dan bilangan warga emas yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pula adalah sebanyak 1.74 juta,” katanya.

Katanya, bermula hari ini hingga 30 Jun ini, sebanyak 757,747 janji temu berjadual sudah diberikan di seluruh negara, membabitkan 253,719 individu berusia 60 tahun ke atas, 83,610 individu berusia 40 hingga 49 tahun, 228,397 individu berusia 50 hingga 59 tahun, manakala selebihnya berusia 18 hingga 39 tahun. 

“Justeru, tuduhan yang mengatakan kita tidak menghantar janji temu kepada mereka yang berusia 50-an, susulan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Bukit Jalil adalah tidak benar,” katanya. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis