10 Beradik Masuk Universiti Pada Usia 13 Tahun

Berita10 Beradik Masuk Universiti Pada Usia 13 Tahun

SAN JOSE, CALIFORNIA – Sepasang suami isteri dari Amerika Syarikat yang tidak menghantar kesemua 10 anak mereka ke sekolah formal berjaya menjadikan mereka bergelar pelajar universiti ketika berusia 13 tahun, lapor akhbar Metro UK kelmarin.

Kit Harding dan isterinya, Monalisa, bahkan turut mencipta nama sebagai pakar pembelajaran di rumah selepas anak-anak mereka berjaya menamatkan pengajian di peringkat sekolah dan universiti sebelum berusia 18 tahun.

Anak sulung pasangan itu, Hannah, 34, menjadi pakar matematik selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Auburn, Montgomery ketika berusia 17 tahun.

Kit dan Monalisa turut membesarkan ‘peguam termuda’, iaitu anak keenam mereka, Seth, 20, yang menerima kelayakan menerusi peperiksaan universiti dan profesional pada usia 19 tahun.

Menurut Monalisa, anak-anaknya bukanlah genius, namun menegaskan bahawa kejayaan itu dicapai daripada keberkesanan pembelajaran dari rumah serta usaha keras mereka sendiri.

“Asas pembelajaran di rumah adalah amat berkesan dan sesiapa sahaja boleh melakukannya.

“Apabila anda membesarkan anak-anak dalam persekitaran di mana persekolahan di rumah dan kerja keras adalah normal, apabila mereka membesar, mereka secara semula jadi akan menyesuaikan diri dengan perkara itu,” katanya.

Pasangan itu turut mengembara ke beberapa buah negara untuk berkongsi pengalaman mereka dengan ibu bapa lain. – AGENSI

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis